‘Saya tidak hamil, ada waktu tertentu perut kelihatan buncit’

PENYANYI dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL)menepis dakwaan segelintir netizen bahawa dirinya kini sedang berbadan dua.

Bunga Citra Lestari, 43, tampil membuat kenyataan tersebut selepas segelintir pengguna media sosial mula menyebar khabar angin mengenai bentuk fizikalnya yang dikatakan semakin berisi kerana hamil.

“Dengar khabar ada akaun yang mendakwa saya berbadan dua. Sekadar makluman, saya tidak hamil.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya hanyalah manusia biasa berusia 43 tahun yang mana saat datang bulan, perut akan menjadi kembung,” katanya dalam satu hantaran Threads.

Pelantun lagu Ingkar itu menjelaskan bahawa perubahan saiz pada bahagian perutnya hanyalah perubahan fizikal biasa yang sering dialami golongan wanita sewaktu haid.

Kadang-kadang, sudut kamera juga boleh membuatkan perut saya kelihatan semakin buncit.

“Jadi, bolehkah berhenti membuat andaian?” katanya lagi.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu juga meminta netizen agar tidak terus mewujudkan sebarang andaian liar tanpa mengetahui perkara sebenar.

“Ini bukan kali pertama orang mendakwa saya hamil.

Saya rasa tiada salahnya jika pada waktu tertentu wanita mengalami perut kembung dan kelihatan lebih buncit daripada biasa. Sekian dan terima kasih,” ujarnya.

Terdahulu, Bunga sekitar tahun 2024 menegaskan memilih untuk tidak lagi hamil kerana bimbang berdepan sebarang risiko ketika usianya sudah mencecah 40-an.

Ujarnya, dia kini bahagia menjalani hidup bersama satu-satunya anak tunggalnya serta suami tercinta, Tiko Aryawardhana.

Untuk info, Bunga dan Tiko mendirikan rumah tangga pada 2 Disember 2023 di sebuah resort mewah di Bali, Indonesia.

Sebelum itu, Bunga pernah mendirikan rumah tangga bersama selebriti asal Malaysia, Ashraf Sinclair pada 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Noah Aidan Sinclair.

Jodoh tidak panjang, Allahyarham Ashraf meninggal dunia pada Februari 2020 ketika tidur akibat serangan jantung.

Tiko juga sebelum ini pernah berkahwin dan memiliki tiga cahaya mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok