BIDUANITA Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza mengundang perhatian ramai apabila berkongsi keadaan terkini wajahnya yang cedera akibat jatuh tersembam ketika menjalani sesi latihan bagi Konsert Tradisional Gema Bumantara baru-baru ini.
Menerusi foto yang dikongsi, kesan lebam di bahagian pipi kanannya selain bengkak yang masih jelas kelihatan di tulang pipinya.
Walaupun berdepan kecederaan tersebut, penyanyi lagu Bukan Cinta Biasa itu meluahkan rasa syukur kerana tidak lagi mengalami kesakitan yang teruk.
“Tinggal nak hilangkan lebam ini saja.
Sakit tidak ada kecuali bahagian tulang pipi masih rasa bengkak,” katanya dalam satu hantaran InstaStory.
Dalam hantaran sama, dia tetap bersangka baik dengan setiap aturan Tuhan dan tidak menyalahkan mana-mana pihak.
Alhamdulillah, semuanya adalah tanda kasih sayang Allah SWT kepada saya,” katanya lagi.
Perkongsian tersebut dihujani dengan pelbagai respons daripada peminat yang mendoakannya diberikan kesembuhan segera.
“Sakitnya terasa sehingga ke sini, semoga cepat sembuh.
“Harap TokTi cepat sihat, lebam hilang segera,” komen netizen.
Terdahulu, misteri lebam bawah mata dengan kesan luka kecil pada wajah Siti terjawab menerusi VT (rakaman video pendek) dimainkan pada konsert Tradisional Gema Bumantara malam tadi.
Melalui VT ditayangkan pada pertengahan konsert, Siti terjatuh ketika menjalani latihan konsert mega terbabit yang berlangsung di TM Stadium Nasional, Ahad lalu sekali gus mengakibatkan lebam kecil di bahagian wajahnya.
Siti dilihat berlatih melakukan aksi melompat menggunakan tali apabila kakinya tersadung sehingga menyebabkan beliau jatuh tersembam ke lantai. – HIBGLAM

