‘Kalau Siti Nurhaliza sudi, saya taburkan lagu atas dulang’

PENYANYI dan komposer Noh Salleh menyimpan hasrat untuk mengundang Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk berduet dalam konsert Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Bagaimanapun, Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh, 41, masih berasa gementar untuk mengundang penyanyi nombor satu negara itu selain menyifatkan dirinya belum tentu layak bergandingan dengan figura besar industri muzik berkenaan.

“Apa-apa pun, jemputan pertama kami akan ditujukan kepada Siti Nurhaliza dahulu. Kami akan bertanya kepada Kak Rozi (pengurus Siti), sama ada dia mempunyai kelapangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun kami sedar mungkin kedudukan kami ini tidak layak untuk membawa beliau ke pentas kami, atas dasar budi bahasa dan penghormatan, dia harus ditanya terlebih dahulu,” katanya kepada HibGlam pada sesi bersama media di Icon City semalam.

Menurut vokalis kumpulan Hujan itu, sekiranya Siti bersetuju menerima jemputan berkenaan, penyanyi itu bebas memilih mana-mana lagu daripada katalog muziknya untuk dipersembahkan.

“Jika dia sudi, saya akan berikan senarai lagu dan biarlah dia sendiri yang memilih.

“Ibaratnya, saya taburkan semua lagu di atas dulang dan dia boleh memilih mana-mana satu. Apa sahaja untuk ‘Goddess’ kita,” ujarnya lagi.

Konsert Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena, Kuala Lumpur, pada 8 November dengan persembahan 23 buah lagu.

Konsert itu bakal menjadi persembahan solo berformat orkestra kedua buat Noh selepas dia tampil bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas pada November tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok