AKTRES versatil, Datuk Fauziah Nawi menegur segelintir artis senior yang memilih untuk mengkritik kelemahan generasi pelapis tanpa menawarkan penyelesaian bagi memperbaiki mutu lakonan.
Fauziah, 73, berkata golongan berpengalaman dalam industri hiburan mempunyai ruang untuk menyumbang kepada pembangunan bakat baharu dengan berkongsi ilmu, pengalaman dan panduan bagi membantu mereka menjadi penggiat seni lebih berkualiti.
Kita tidak mengharapkan semua artis senior menjadi guru tetapi apabila mereka memilih untuk bersuara tentang kelemahan pelapis.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Alangkah baiknya jika suara itu turut membawa penyelesaian. Menegur itu hak. Membimbing itu sumbangan. Mewariskan ilmu itu legasi,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Ujar penerima Anugerah Sepanjang Zaman di Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) itu, kematangan
artis senior tidak wajar dinilai berdasarkan tempoh berada dalam industri semata-mata, sebaliknya turut dilihat melalui kesediaan berkongsi pengetahuan dan membantu perkembangan generasi seterusnya.
Akuinya lagi, dalam industri yang sentiasa berkembang, pengalaman golongan veteran merupakan antara aset penting yang boleh dimanfaatkan agar pelapis lebih bersedia menghadapi tuntutan kerjaya, selain memahami selok-belok dunia hiburan.
“Artis senior tidak perlu memperkecilkan pelapis untuk membuktikan kebesarannya.
Besarnya seorang seniman terserlah apabila dia mampu membantu orang lain menjadi lebih baik daripada dirinya,” katanya.
Fauziah juga menegaskan legasi seseorang seniman tidak hanya
terletak pada pencapaian peribadi atau lamanya nama bertahan dalam industri tetapi tercermin melalui ilmu yang diwariskan.
Pandangan pelakon serba boleh yang banyak membimbing bakat baharu itu meraih sokongan netizen, malah rata-rata berharap lebih ramai penggiat seni senior sepertinya.
Mahal ayat ini. Ilmu yang disimpan takkan dibawa ke mana tapi ilmu yang diwariskan akan jadi pahala jariah yang tidak pernah putus,” tulis netizen. – HIBGLAM

