SELEPAS lebih sedekad membuktikan penguasaan sebagai program realiti paling dominan di kaca televisyen tempatan, Gegar Vaganza (GV) kini kembali menyengat menerusi penganjuran musim ke-13 dengan membawakan satu kelainan luar biasa.
Jika pada musim-musim lalu pentas GV mempertemukan pelbagai bintang lagenda daripada pelbagai latar belakang dan syarikat rakaman, edisi kali ini hadir dengan formula magis yang pastinya merobek perasaan nostalgia peminat setia muzik tanah air.
Musim ke-13 ini menyaksikan sebuah pertembungan epik membabitkan barisan alumni program realiti, Akademi Fantasia (AF), yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa suatu masa dahulu, sekali gus seperti menularkan semula demam AF yang barangkali sudah ‘pupus’.
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, keputusan besar tersebut diambil bagi meraikan ulang tahun ke-30 penyiaran Astro di Malaysia dengan menyatukan dua jenama paling ikonik dalam sejarah hiburan tempatan.
“Kita buat sedikit kelainan kerana meraikan 30 tahun Astro. Selama tiga dekad bersiaran, antara program yang ikonik adalah AF.
Tercetusnya populariti Astro dalam kalangan penonton di Malaysia adalah melalui program AF. Sudah semestinya, GV merupakan antara jenama paling utuh dalam produksi kita yang sudah bersiaran 13 tahun.
“Kami rasakan tiba masanya untuk buat sesuatu begini. Bila sampai tiga dekad, kami fikir ini masa terbaik untuk membawa kembali dua jenama ikonik dan gabungkan menjadi satu,” kata Raqim pada sidang media GV13 baru-baru ini.
Tambah Raqim, ‘DNA’ AF yang sinonim dengan kejutan akan turut diterjemahkan ke dalam format pentas GV musim ini.
“AF sangat sinonim dengan kejutan, kalau ada yang ingat kejutan adalah sebahagian daripada elemen.
“Banyak kejutan-kejutan akan diterapkan, seperti kami tak umumkan Jihan sebagai hos tapi semua dah tahu daripada klip promo.
Antara kejutan lain adalah kita baru umumkan sembilan peserta. Sebenarnya akan ada pertambahan menjadikan 13 peserta keseluruhannya,” ujarnya.
Mengulas mengenai pengumuman empat peserta lagi yang bakal sertai GV, Raqim membiarkan perkara tersebut terus menjadi teka-teki orang ramai.
“Kami akan umumkan, itu juga akan jadi kejutan. Seperti saya katakan, ada beberapa elemen kejutan dan ini tidak akan berhenti dalam sidang media sahaja,” tuturnya.
Sebelum ini, beberapa juara AF setiap musim diumum bakal berentap di pentas GV13 bermula 8 November depan antaranya adalah Vince, Zahid, Mawi, Stacy dan Mila Jirin. Juara AF lain yang turut diumumkan termasuklah Faizal Ramly, Faizul Sani, Shahir dan Firman.
Berganding bahu menilai kehebatan vokal mereka adalah barisan juri profesional tetap yang digamatkan dengan kehadiran maestro muzik tersohor, Profesor Adjung Datuk Ramli MS bersama Hetty Koes Endang dan Datuk Shafinaz Selamat.
GV13 bakal dikendalikan trio hebat seperti Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Al Hadad. – HIBGLAM

