’Bayan watak rekaan, di rumah saya anak yang solat bersama ibunya’

PELAKON dan penyanyi, Mimi Fly menafikan adegan bacaan mantera yang bakal dipersembahkannya dalam pementasan muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM) menyentuh sensitiviti mana-mana agama.

Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 40, berkata, setiap tutur kata dan babak mantera tersebut sekadar memenuhi tuntutan wataknya sebagai Bayan.

“Bayan adalah Bayan sementara di sisi lain, saya tetap seorang Mimi Fly.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Watak ini adalah rekaan yang dicipta untuk pementasan manakala di rumah, saya kekal sebagai anak yang bertemu ibu dan solat bersamanya.

“Saya hanya menjalankan tugas sebagai pelakon,” katanya kepada HibGlam di sini, hari ini.

Menurut pelantun lagu Serumpun itu, seseorang pelakon perlu bersedia menggalas tanggungjawab dan amanah bagi menjayakan sesebuah watak dengan penuh komitmen.

“Sebagai pelakon, ada tanggungjawab dan amanah perlu dijaga serta risiko yang harus ditanggung sendiri.

“Karakter itu adalah watak yang saya hasilkan, realitinya saya tetap saya,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai akan wujud kritikan umum, dia menegaskan orang luar tidak sepatutnya menilai persembahan tanpa memahami kehendak tugas yang perlu dilakukan sebagai seorang pelakon teater.

“Orang luar tidak berada di kedudukan saya, jadi mereka tak tahu saya hanya menjalankan tanggungjawab.

“Ini bayaran yang harus kami terima sebagai pelakon teater (kecaman).

“Penonton tidak perlu mendalami dengan terperinci latar belakang watak tersebut,” jelasnya.

Pementasan PGLM kali ini bakal mencatat sejarah tersendiri apabila dipentaskan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) yang disifatkan sebagai dewan teater paling canggih di Malaysia lengkap dengan teknologi terkini serta keselesaan visual optimum dari setiap sudut tempat duduk.

Selain Mimi, PGLM arahan Puan Sri Tiara Jacquelina turut dibarisi Mila Mohsin dan Aisha Retno sebagai Gusti Putri, Aqasha (Hang Tuah), Nadia Aqilah (Bayan), Luqman Hafidz (Sultan Melaka) serta Yusof Hashim (Gusti Adipati) bakal dipentaskan bermula 31 Oktober hingga 15 November ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok