PGLM bakal kembali ke Kuala Lumpur tahun hadapan – Tiara Jacquelina

SELEPAS mencetuskan fenomena dan menerima sambutan luar biasa menerusi pementasan terbaharu di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), teater ikonik Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) bakal kembali menemui peminat di ibu negara tahun hadapan.

Pengarahnya, Puan Sri Tiara Jacquelina berkata, peminat tidak perlu menunggu dua dekad lagi untuk menyaksikan pementasan tersebut, sekali gus memberi peluang kedua kepada mereka yang gagal mendapatkan tiket sebelum ini.

“Tidak perlu tunggu 20 tahun lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Insya-Allah, tahun hadapan kami mempunyai perancangan untuk membawa pementasan ini semula ke Kuala Lumpur,” katanya yang bagaimanapun belum mendedahkan lokasi pementasan PGLM di ibu negara.

Mengulas mengenai pementasan edisi kali ini, Tiara mengakui berasa rindu apabila mengenangkan perjalanan produksi tersebut yang dirasakan berlalu begitu pantas selepas berbulan-bulan menjalani persiapan rapi.

“Saya rasa rindu kerana sekelip mata sahaja segalanya berakhir. Saya sangat bersyukur kerana selepas 20 tahun, pementasan PGLM menerima sambutan hangat daripada penonton yang merindui karya ini.

“Malah, kami turut menerima kehadiran penonton baharu yang ghairah untuk mengetahui kisah Puteri Gunung Ledang serta kisah-kisah Nusantara,” katanya.

Dalam pada itu, Tiara turut mengakui tersentuh menyaksikan anak perempuannya, Mila Mohsin, menggalas tanggungjawab sebagai Puteri Gunung Ledang menerusi pementasan tersebut.

“Secara peribadi, momen paling istimewa sudah tentu ketika melihat anak saya mengambil alih tanggungjawab membawa watak Puteri Gunung Ledang.

“Saya sebenarnya benar-benar tidak bersedia untuk momen itu. Apabila melihat dia mengenakan kostum dan solekan, dia memang kelihatan seperti seorang puteri,” jelasnya.

PGLM edisi kali ini turut menampilkan 50 pelakon di atas pentas, termasuk anggota ensembel yang diberikan identiti, nama serta latar belakang watak tersendiri bagi menghidupkan jalan cerita.

Pementasan tersebut masih mengekalkan skrip dan lagu asal, namun rekaan set, prop serta busana diberikan nafas baharu.

Barisan pelakon utama kali ini menampilkan Aisha Retno yang berkongsi watak Gusti Putri Retno Dumilah, manakala Aqasha menggalas peranan sebagai Hang Tuah.

Mimi Fly dan Nadia Aqilah turut mencuri perhatian menerusi watak Bayan, sementara Luqman Hafidz membawakan watak Sultan Mahmud Shah dan Yusof Hashim pula sebagai Gusti Adipati Handaya Ningrat. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok