Reinkarnasi sebuah sengsara, PGLM megah berevolusi

JIKA ditanya apalah nikmatnya menyaksikan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM), jawapannya adalah ‘sengsara’.

Kenapa, kerana tidak ada yang menang dalam kisah cinta epik tersebut, baik Hang Tuah, Sultan Melaka, Gusti Adipati mahupun Gusti Puteri sendiri. Itulah nikmat terdalam dalam PGLM.

Selesai menadah fokus mengharapkan kesempurnaan ke pentas PGLM kali ini, sungguh, satu ungkapan masyhur daripada Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang berbunyi: ‘Segala yang dihasrat tapi tak dapat adalah nikmat yang paling padat’ segera berpuing-puing dalam kepala.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ungkapan itu sendiri ibarat angin semilir yang menyusup ke ruang ingatan, antara terkenangkan betapa indahnya nostalgia dan seronoknya segenap lekuk evolusi sebuah pementasan yang tidak pernah mematikan rasa untuk dihayati tersebut.

Bagi peminat setia PGL sejak lebih 20 tahun lalu (sejak versi filem ditayangkan pada 2004), biarpun ada kritikan menyifatkan ceritanya tumpul, sehinggalah memasuki ruang teater dari 2006 hingga 2009, PGL tetap berdiam di pergunungan jiwa.

Biarpun kesaktian watak-wataknya hilang daya oleh satu keingkaran, namun nikmatnya PGL, sakit sengsara watak-wataknya utama, terutama Gusti Puteri dan Hang Tuah menjadikan kisah itu hidup dan meninggalkan bekas emosi cukup kuat dalam fikiran ramai.

Itulah elemen-elemen ‘majestic’ sedia ada PGLM dari zaman Adlin Aman Ramlie dan Zahim Albakri sebagai pengarah, sehinggalah kerusi itu bertukar menjadi milik penuh Puan Seri Tiara Jaquelina, dialah pengarah, dia juga penerbit bersama.

BABAK cinta antara gusti puteri jelmaan Mila Mohsin dan Hang Tuah menjadi antara segmen yang mencairkan hati penonton.

Dari sudut pandangan seorang ‘puteri’ menjadi pengarah, dari satu bahagian yang lain, PGLM terasa semakin kuat nilai feminisme.

Dalam naskhah yang skrip asalnya ditulis Adlin itu, walaupun yang berkuasanya tetaplah lelaki bernama raja, namun lelaki sehebat Laksamana Hang Tuah pun digambarkan berdepan titik terendah, lemah sehingga menangis melutut dipelukan Gusti Puteri.

Itu sakit batin seorang lelaki yang tidak mampu mempertahankan cintanya atas nama setia kepada raja dan Melaka (negara), namun penonton tetap pulang dengan sebuah cinta sakti yang mahu bebas di jiwa.

Rasa itu tidak sama dengan Mansur & Liu yang menyajikan ‘happy ending’ sepanjang pementasan di Istana Budaya. Membezakan dua rasa itu, adakalanya terfikir, rupa-rupanya format ‘cinta agung tidak semestinya memiliki’ sangat relevan dalam mana-mana pementasan.

Dinamik

Cukuplah sesi terawang-awangan dek impak ‘sad ending’ ikonik yang ramai kenal sejak zaman kanak-kanak itu.

Rasionalnya, PGLM di pentas serba baharu, The Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square berlangsung dengan dinamika tersendiri.

Dari segi rekaan kostum dan props, ketulenannya jelas, terutama set ‘statue’ berlatarkan Kesultanan Majapahit sehingga ke Kesultanan Melaka yang cukup diingati.

Roh dan emosi asal, dialog serta skrip asal dikekalkan hampir 95 peratus, namun persembahannya diolah dengan pendekatan yang sedikit pembaharuan, dana nilai sinematik dan seiring waktu.

LAKONAN daripada Luqman sebagai Sultan Melaka dan Yusof (Gusti Adipati) menjadi babak penting dalam PGLM.

Selaku pengarah, Tiara menyebutkan banyak perubahan telah dilakukan sebagaimana dimahukan.
Di tangan Saiful Ridzuan (Duan) daripada Seven Collar T-Shirt, melodi dan susunan muziknya terasa segar bertenaga, merinding juga dibuatnya, terutama sewaktu mentera Bayan melepaskan Gusti Puteri belayar ke Melaka.

Fokus menangkap mata tentunya ke arah persembahan Aishah Retno dan Mila Mohsin selaku Gusti Puteri, Aqasha dengan jiwa Hang Tuah, Mimifly dan Nadia Aqilah bergilir membawakan watak Bayan, sementara Luqman Hafidz
sebagai Sultan Mahmud Shah dan Yusof Hashim menjadi Gusti Adipati Handaya Ningrat.

Jujurnya Aishah Retno boleh menjadi pelakon kedua Gusti Puteri, untuk kehadiran pertama di pentas teater, lakonannya tidak cacat, sempurna, namun rasa, lentur, kemanisan dan aura ‘puteri’ telah jatuh ke tubuh Mila Mohsin.

Melihat kelibatnya sahaja, tanpa segera diseru pun, pesona Gusti Puteri versi Tiara segera menerpa ingatan. Benarlah, adakalanya pesona boleh diwariskan menjadi legasi.

Dari sudut usaha dan kemampuan menterjemah watak, melontarkan dialog-dialog mencengkam tentunya semua itu datang daripada usaha dan kesungguhan Mila sendiri. Pesona sang ibu menjadi bonus, Mila ibarat reinkarnasi seorang Gusti Puteri Retno Dumilah yang pernah khalayak saksikan belasan tahun lalu.

Tuah Aqasha

Jika tuah Hang Tuah terletak namanya, tuah Aqasha pula disandarkan kepada Hang Tuah. Sekian lama tanpa naskhah yang benar-benar diingati, PGLM menganugerahkan dirinya satu tanda, dia selayaknya penerus roh Tuah selaku bekas ‘understudy’ watak sama sekitar 2009 silam.

Adegan beremosi antara Aisha Retno dan Bayan lakonan Nadia Aqilah.

Cuma jika dibandingkan dengan Stephen Rahman, fizikalnya mungkin kalah satu markah.

Jelmaan Bayan oleh Nadia Aqilah dan Mimifly juga berhantu. Paling digemari tentunya babak Bayan menjadi nenek kebayan mengganggu perjalanan utusan peminangan PGL oleh Hang Tuah dan rakan-rakan. Ketika itu, latar mistik Gunung Ledang digambarkan dengan kehadiran para penjaga hutan diketuai Bayan.

Agak peribadi, teringat pula momen pendakian ke gunung berkenaan saat hari mulai gelap, seperti ada mata memerhatikan setiap langkah.

Yusof Hashim sebagai Gusti Adipati pula cemerlang, garang dan bengisnya terzahir menerusi keunikan bahasa tubuhnya yang mungkin diberi sedikit ‘exaggerate’ daripada tingkah sebenar seorang Gusti Adipati.

Begitu juga Luqman yang menjiwai karakter Sultan Mahmud. Daulatnya berdentum bak guruh saat menyumpah PGL keseorangan, ghaib di puncak Ledang.

SARAT nilai adat dan budaya, PGLM bagaimanapun tidak dapat lari daripada perdebatan khalayak berhubung aspek busana berkemban dan bindi yang disifatkan bertentangan dengan hukum agama.

Akhir sekali, tidak adil jika para ‘ensembles’ atau khas dinamakan ‘Storytellers’ kali ini tidak diberi kredit sama. Mereka membawa pelbagai watak, sebagai tukang cerita menerusi nyanyian secara langsung (bukan miming) dan tarian simbolik kepada budaya dua bangsa hebat, Jawa dan Melayu pada zaman yang diwakili.

Untuk bukan anak teater bernama besar, bermain sebagai ‘Storytellers’ sahaja cukup satu kebanggaan.

Panjang jika hendak diperincikan semua. Dipendekkan ulasan, tepuk sorak untuk Tiara. PGLM kali ini ternyata bukan sekadar ‘the legend rises again’ tetapi sebuah kelahiran semula yang barangkali harus dibawa ‘bertakhta’ berkali-kali lagi.

Cuma seperkara, tidak semua teater harus berskala seperti PGLM, jika benar meminati teater, tidak salah untuk sesekali turun juga ke pentas kecil untuk kenal definisi dan menikmati makna teater sebenar-benarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok