PELAKON Faezah Elai mengundang perhatian ramai apabila menyifatkan kedatangan kumpulan nu-metal antarabangsa, Limp Bizkit menjayakan konsert di Malaysia pada 9 Disember depan agak lewat buat peminat generasi 1990-an yang kini berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan dan perubahan hidup.
Dalam nada berseloroh, Faezah atau nama sebenarnya Noor Faezah Md Elai, 44, membayangkan keadaan fizikal peminat dalam kalangan generasi milenial yang mungkin tidak lagi mampu mengikuti energi konsert yang memerlukan kecerdasan seperti dahulu.
“Ini Limp Bizkit, fasal apa baru sekarang nak datang Malaysia buat konsert di saat tudung sudah sampai paras pusat?
Memuatkan artikel berkaitan…
“Di saat berdiri lama-lama nanti dunia jadi pitam dan lutut kalih pusing ke belakang.
“Itu belum lagi cerita kena bawa inhaler, baru dua tiga langkah dah tercungap-cungap penat,” katanya dalam sayu hantaran video.
Faezah turut mengusik rakan seusianya yang kini berdepan masalah kesihatan sehingga perlu mengambil ubat-ubatan secara berkala.
Dia juga sempat bergurau dengan peminat generasi milenial yang kini lebih mengutamakan urusan ibadah berbanding aktiviti hiburan seperti dahulu.
“Belum lagi cerita geng-geng yang lain yang mana ada kencing manis, kena gout dan ubat darah tinggi yang kena makan setiap hari.
“Baru sekarang kalian teringat nak datang ‘rolling-rolling’ di saat semua sekarang ini kalut gulung sejadah di rumah.
“Macam mana ini Limp Bizkit?” ujarnya.
Perkongsian tersebut mengundang banyak komen daripada netizen generasi milenial yang turut bersetuju dengan pendapat isteri kepada pengarah, Heykal Hanafiah itu.
“Aku dah ada kolesterol macam ini baru Limp Bizkit nak buat konsert.
“Nak beli tiket ‘standing zone’ takut lutut tak gagah. Kalau beli yang murah nanti mata tak nampak,” komen netizen.
Terdahulu, kumpulan yang terkenal dengan lagi Rollin’, Break Stuff dan Behind Blue Eyes itu dijangka mengadakan konsert di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 9 Disember depan. – HIBGLAM

