AKAR//NEXT 2026 satukan budaya, seni kontemporari

BUAT julung kalinya, sebuah festival budaya kontemporari berskala besar, AKAR//NEXT 2026 bakal menggegarkan Pasar Seni selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November 2026.

Dianjurkan Goodseed Event, festival bertemakan One Root. Infinite Futures festival bakal menyatukan elemen muzik, seni, fesyen, makanan, produk kreatif, dan pengalaman digital di bawah satu bumbung.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hilli Fahmi, acara tersebut membuktikan bahawa evolusi teknologi dan kreativiti mampu menjadikan budaya tempatan kekal relevan serta terus berkembang mengikut arus moden.

Memuatkan artikel berkaitan…

“AKAR//NEXT lahir daripada idea untuk membawa akar budaya kita ke satu ruang yang lebih segar, terbuka dan relevan dengan generasi hari ini.

Kami mahu menunjukkan bahawa budaya bukan sesuatu yang statik atau hanya untuk dikenang, tetapi boleh terus berkembang melalui muzik, seni, fesyen, kreativiti dan teknologi.

“Melalui tema ‘One Root. Infinite Futures.’, kami melihat satu akar sebagai permulaan kepada pelbagai kemungkinan.

AKAR//NEXT adalah ruang untuk meraikan apa yang membentuk kita, sambil memberi peluang kepada generasi baharu untuk mencipta apa yang akan datang seterusnya,” katanya pada sidang media pelancaran acara terbabit di sini baru-baru ini.

HILLI Fahmi (tengah) optimis festival budaya, AKAR//NEXT 2026 akan mendapat sambutan ramai. – SYAKIR RADIN

OAG

Tambahnya, kumpulan OAG diumumkan sebagai artis utama yang bakal menggegarkan festival, disusuli barisan kumpulan indie popular serta penyair dan penyajak tanah air.

Sebenarnya kami sedang berusaha untuk membawa jemputan daripada Indonesia dan Thailand. Cuma kerana ini tahun pertama, mungkin kami belum ada pendedahan berkenaan apa yang kita nak bawa.

“Buat masa sekarang kami masih menunggu jawapan daripada jemputan Indonesia dan Thailand,” kongsinya.

Menjadi taruhan terbesar Goodseed Event setakat ini, Hilli turut memaklumkan penganjuran ini menuntut perancangan teliti dalam menyatukan komuniti seni, pemuzik, pengusaha kraf dan rakan strategik ke dalam satu platform.

“Goodseed Event menganjurkan pelbagai acara dan festival sebelum ini, pengalaman tersebut banyak membantu kami dalam membangunkan AKAR//NEXT. Namun, kami tidak menafikan bahawa AKAR//NEXT merupakan festival terbesar yang pernah kami usahakan.

Ini merupakan satu cabaran besar untuk kami, bukan sahaja dari segi skala, tetapi juga dalam menyatukan pelbagai elemen seperti muzik, budaya, seni, komuniti dan kreativiti ke dalam satu pengalaman yang mempunyai identiti tersendiri.

“Kami mahu memastikan apa yang kami bayangkan dapat direalisasikan dengan sebaik mungkin dan memberikan pengalaman yang bermakna kepada pengunjung, rakan kerjasama serta semua yang terlibat,” jelasnya.

FESTIVAL AKAR//NEXT 2026 akan berlangsung selama tiga hari.

Sepanjang festival, pengunjung berpeluang menikmati persembahan muzik, DJ, muzik elektronik, persembahan kebudayaan, seni visual, tekstil, kraftangan, fesyen serta pelbagai produk kreatif tempatan.

Selain menyajikan pengisian hiburan, AKAR//NEXT turut membuka ruang luas kepada penggiat seni, pereka fesyen, usahawan kraf dan pencipta kandungan tempatan untuk mempamerkan karya serta produk mereka.

Penganjur turut mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, jenama korporat serta organisasi kebudayaan bagi menjadikan festival ini sebagai platform tahunan unggul untuk jangka masa panjang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok