BELUM pun melabuhkan tirai tahun 2026, pelakon Mia Sara Nasuha sudah merakamkan penghargaan atas segala pengalaman dan dugaan yang ditempuh sepanjang tahun ini.
Mia Sara atau nama lengkapnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 21, mengakui pelbagai perkara yang berlaku membuka matanya untuk mengenali individu yang benar-benar ikhlas berada di sisinya.
Malah, pelakon drama Strawberi & Karipap itu turut menyedari bahawa dirinya perlu menjadi individu paling kuat untuk menghadapi setiap dugaan kehidupan.
“Terima kasih 2026 kerana banyak mengajar saya.
Terima kasih sebab menunjukkan siapa yang benar-benar ada bersama dan menyedarkan saya bahawa selama ini, hanya saya yang ada untuk diri sendiri,” katanya menerusi Threads.
Dalam perkongsian sama, Mia Sara turut menitipkan ucapan terima kasih kepada ahli keluarga yang didakwa memilih untuk menjauhkan diri selepas kontroversi yang melanda dirinya.
“Terima kasih juga buat keluarga yang memilih untuk menjauh,” ujarnya.
Tambahnya, dia bersyukur kerana masih mempunyai kekuatan untuk mengharungi segala ujian, selain tidak berputus asa meskipun berdepan pelbagai kesukaran.
“Paling utama, terima kasih kepada diri sendiri kerana masih bertahan, terus hidup dan tidak pernah mengalah. Terima kasih semua,” jelasnya.
Terdahulu, nama Mia Sara menjadi perhatian selepas pelakon Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish menggesanya menyelesaikan isu lama antara mereka susulan dakwaan pernah memalukan ibu aktres tersebut.
Aqish turut mendakwa tindakan Mia Sara menangis di hadapan pihak media baru-baru ini sekadar cubaan meraih simpati masyarakat.
Tidak terhenti di situ, Aqish turut mengungkit pengalaman pahit menjadi mangsa buli yang didakwa dilakukan Mia Sara ketika mereka mula menceburi industri seni.
Malah, dia mendakwa terdapat perbezaan ketara antara keperibadian sebenar Mia Sara dengan imej positif yang sering dipaparkan menerusi media sosial.
Bagaimanapun, Mia Sara menafikan segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya termasuk dakwaan membuli Aqish dan memburuk-burukkan ibu pelakon itu.
Mia Sara turut menyatakan kesediaan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Puteri Balqis, keluarganya serta beberapa individu lain berhubung dakwaan berkenaan. – HIBGLAM

