OAG, The Times ‘berentap’ 10 Oktober ini

DUA nama ikonik dalam arena muzik indie tempatan, OAG dan The Times bakal mencipta sejarah tersendiri apabila bergabung atas satu pentas menerusi konsert Disko Dansa Generasiku pada 10 Oktober ini.

Konsert yang berlangsung di Odeon Kuala Lumpur bukan sekadar menghimpunkan dua kumpulan berbeza generasi, malah menyaksikan OAG dan The Times beraksi bersama dalam persembahan istimewa itu.

Vokalis OAG, Radhi, menyifatkan Disko Dansa Generasiku sebagai sebuah pertemuan yang membawa makna besar buat perjalanan muzik tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Konsert ini bukan sekadar tentang OAG atau The Times, tetapi tentang perjalanan muzik alternatif Malaysia yang saling bersambung dari satu generasi ke generasi yang lain.

“Kami mahu penonton datang bukan sahaja untuk menyanyi bersama, bahkan menghidupkan semula memori dan meraikan muzik yang pernah menjadi sebahagian hidup mereka,” katanya.

Di sebalik identiti muzik tersendiri kedua-dua kumpulan, OAG dan The Times hakikatnya mereka mempunyai pertalian dari segi keanggotaan serta pengalaman perjalanan seni.

Hubungan dengan The Times bermula pada awal 2000-an apabila dua beradik, Naza dan Mono, menjadi sebahagian daripada line-up OAG apabila Naza sebagai gitaris dan Mono di posisi bes.

Selepas meninggalkan OAG dan meneroka arah muzik sendiri, kedua-duanya menubuhkan The Times pada 31 Ogos 2004 namun mereka bukan OAG versi baharu, sebaliknya membina imej serta jenama sendiri.

Mengenai konsert, kedua-dua band bakal mempersembahkan 10 seleksi kegemaran sepanjang zaman secara serentak, sekali gus mencipta momen berharga khusus buat penggemar tegar.

Paduan tersebut akan menyelak semula kisah perjalanan muzik mereka yang merentasi lebih tiga dekad bermula dengan kemunculan OAG pada era 1990-an sebelum The Times hadir ketika gelombang indie Melayu menakluk persada hiburan sekitar pertengahan 2000.

Bayangkan dua set dram dipalu serentak, dua bass dimainkan senada, empat gitar bergema bersama serta dua vokalis berkongsi suara di atas satu gelanggang.

Itulah kelainan yang diketengahkan menerusi Disko Dansa Generasiku, apabila OAG dan The Times tidak hanya muncul sebagai dua kumpulan yang membuat persembahan secara berasingan.

Sebaliknya, kedua-dua kumpulan terbabit umpama berentap dengan akan bermain bersama dan menawarkan pengalaman bunyi dan visual yang belum pernah dipersembahkan dalam format sedemikian sebelum ini.

Konsert berkenaan turut menjadi ruang untuk meraikan lagu, perjalanan seni serta budaya indie tempatan yang terus berkembang mengikut peredaran zaman.

Bagi peminat yang membesar dengan muzik OAG dan The Times, aksi yang bakal diketengahkan nanti pasti membuka peluang menyaksikan karya daripada dua era berbeza disatukan.

Gabungan dua kumpulan itu juga dijangka menghidupkan semula nostalgia peminat lama, selain memperkenalkan kekuatan muzik mereka kepada generasi pendengar baharu.

Dengan konsep seunik itu, Disko Dansa Generasiku berpotensi menjadi antara acara yang meninggalkan kenangan serta sejarah peribadi buat penonton.

Bagi penggemar yang ingin menjadi saksi konsert bersejarah ini, tiket masih boleh didapati menerusi laman rasmi www.oagthetimes.com. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok