‘Mahu manjakan peminat, hanya ada dua jam sahaja’

SEPULUH tahun bukan satu jangka masa yang singkat. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai ranjau berduri dan liku perjalanan sudah dilalui, sehingga terzahirnya Amir Masdi seperti yang dikenali hari ini.

Kisah perjalanan seni Amir bermula secara tidak sengaja apabila dia melangkah keluar dari zon selesa atas dorongan kuat ibunya untuk menyertai uji bakat program realiti popular, Akademi Fantasia 2016 (AF2016).

Menurut Amir atau nama lengkapnya Amir Syazwan Masdi sekiranya tidak mengikuti saranan ibunya, dia mungkin tidak bergelar penyanyi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah 10 tahun dalam industri sejak 2016 saya keluar daripada AF, saya rasa AF tempat lahir saya dalam karier.

Di situlah lahirnya seorang Amir yang bergelar penyanyi sebab kalau tak ada AF, saya takkan menyanyi.

“Sebab utama saya ke AF adalah kerana mak yang minta saya masuk uji bakat,” katanya kepada HibGlam.

Berkongsi lanjut, lelaki berusia 30 tahun itu pada awalnya enggan menyertai uji bakat tersebut disebabkan rasa rendah diri yang menebal kerana tidak pernah mempunyai pengalaman menyanyi di khalayak ramai.

“Tiga kali mak minta saya masuk, pertamanya saya tak nak sebab tiada keyakinan diri dan tak pernah menyanyi depan orang ramai.

Kali kedua dia minta lagi saya masih tak nak. Saya tidak berani dan kali ketiga saya pergi sebab nak pastikan dia gembira serta memenuhi permintaan dia,” ujarnya.

Tambahnya, dia tidak menyangka dapat bertahan lama dalam program tersebut dan secara tidak langsung mendorongnya meneruskan kerjaya nyanyian.

“Itu uji bakat pertama yang pernah saya pergi seumur hidup saya dan dapat masuk. Di AF saya rasa kalau terkeluar pun tak kisah.

“Sampai minggu ketiga, saya terkejut masih di situ dan nampak ramai bagi maklum balas positif.

Jadi malam itu saya terfikir, mengapa tidak saya ambil perkara ini secara serius dan mungkin di sinilah tempat saya sebenarnya,” ujarnya.

BUKAN sebuah konsert besar, Amir Masdi sebaliknya mahu manjakan peminat dengan persembahan penuh intim di Zepp KL pada 20 Disember nanti.

Ditanya bagaimana ibu mengesan bakat nyanyian dalam dirinya, pelantun lagu Sengaja itu menceritakan dia gemar bernyanyi ketika bermain permainan video di rumah.

“Saya main permainan video berjam-jam, sekitar enam hingga lapan jam sehari dan sambil main itu saya dengar muzik serta ikut menyanyi.

Bila tengok persembahan penyanyi secara langsung, saya cuba tiru cara mereka menyanyi. Dari situ mak saya terdengar dan dia rasa saya boleh menyanyi.

“Alhamdulillah dengan doa, berkat ibu bapa dan sokongan kawan-kawan. Saya nampaklah jalan ini yang sepatutnya saya kejar,” kongsinya.

Cerita Amir lagi, sebenarnya ramai sahaja rakan sebaya tidak percaya bahawa dia mampu bergelar penyanyi memandangkan sikapnya di sekolah sangat berlainan.

“Kawan-kawan saya di sekolah paling tak percaya saya jadi penyanyi sebab saya dahulu, saya sangat ‘reserved’. Hari Guru pun saya tak pernah buat persembahan.

Kalau ada sesi pembentangan, saya tolak kawan saya ke depan, tak pernah bercakap. Ramai kawan saya tak tahu pun saya boleh menyanyi,” jelasnya.

AM:PM Showcase

Dalam perkembangan lain, Amir bakal mengadakan AM:PM Showcase yang berlangsung pada 20 Disember depan di Zepp Kuala Lumpur.

Disoal kenapa mahu mengadakan showcase bukannya konsert, dia menjelaskan mahu mendekatkan diri dengan peminat setia.

“Kebiasaannya showcase ini dianggap konsert berskala kecil. Biasanya, ini adalah satu yang sangat cepat dan pendek.

Tetapi sebab kami pilih showcase kerana rasa konsert itu adalah kenyataan yang sangat besar dari segi tempat, kapasiti dan lagu.

“Namun, saya rasa walaupun saya buat showcase, saya rasa adil untuk semua pembeli supaya saya bagi ekstra.

Saya nak manjakan mereka kerana kita ada dua jam sahaja,” katanya.

DALAM fikiran Amir Masdi ketika ini, am:pm Showcase adalah perkara terbaik yang akan berlaku dalam perancangannya.

Menjelaskan mengenai pengisian konsert tersebut, dia bersama pasukannya amat menitikberatkan aspek penceritaan agar penonton tidak merasa hambar sepanjang acara berlangsung.

“Cabaran terbesar adalah aliran showcase. Macam mana saya nak jadikan persembahan ini bukanlah nak menyanyi sahaja.

Saya mahu bercerita dan macam mana saya nak susun lagu pertama sampai terakhir. Bila orang tengok showcase tidak ada satu momen pun yang dia rasa bosan atau mengantuk.

“Itu matlamat saya dengan pasukan. Saya mahu jadikan ini sebagai satu penceritaan, kita nak susun cantik-cantik dengan lagu-lagu yang ada,” kongsinya.

Lagu cover

Selain mementingkan deretan lagu sendiri, Amir turut merancang untuk menyelitkan lagu saduran (cover) yang pernah memberi kesan mendalam terhadap perjalanan seninya.

“Setakat ini saya utamakan lagu sendiri dulu untuk showcase ini. Kalau ada slot ataupun kesempatan, adalah cover.

“Alasannya saya mahu satu atau dua lagu cover sebab ada beberapa lagu yang saya pernah bawa sebelum ini memberikan impak yang besar untuk karier saya.

Jadi, saya mahu menghargai lagu tersebut. Salah satunya adalah Sepi Sekuntum Mawar Merah yang membuatkan karier saya berjalan semakin lancar. Dan alhamdulillah memberi kesan yang baik,” ujarnya yang juga akan melancarkan album pada showcase berkenaan.

Menutup bicara, Amir berharap perancangan persembahan bakal menjadi detik paling bermakna buat peminat yang menyokongnya selama ini.

“Buat masa sekarang AM:PM Showcase adalah perkara terbaik yang saya boleh berikan kepada peminat. Sebelum ini album pertama saya buat jelajah.

“Kali ini saya mahu buat showcase untuk album kedua dan meraikan terus AM: PM sekali dengan pelancaran PM.

“Saya nak kumpulkan semua orang dalam satu malam yang sama untuk satu showcase yang saya harap akan jadi istimewa dan epik malam itu,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok