MAHU menjadi sebahagian daripada sejarah keberadaan kumpulan OAG dan The Times dalm dalam industri, itu barangkali alasan utama buat ratusan peminat yang enggan melepaskan peluang memenuhi Odeon Kuala Lumpur bagi mengikuti Konsert Disko Dansa Generasiku, tempoh hari.
Malam penuh nostalgia, persembahan bermula dengan penuh bertenaga The Times diikuti dengan aksi OAG sebelum kedua-dua band popular ini bersatu di penghujung acara.

Pentas dibuka dengan kumpulan yang ditubuhkan pada 2004, The Times yang menghangatkan suasana dewan dengan seleksi hits mereka, Pesona Algebra, Khayal Khayalan, Infra Merah dan Lalai.
Tanpa membuang masa, kugiran ditunjangi empat anggota itu menggandakan meneruskan momentum persembahan dengan lagu Wanita, Picagari, Telegram Buat Yoko, Separa Sedar dan Sisa-Sisa.
Tenaga yang dipancarkan barisan pemuzik The Times membuktikan mereka masih berbisa dan masih relevan dalam industri hiburan tanah air.
Susunan muzik yang kemas dan bertenaga membuatkan penonton terus larut dalam aura muzik indie era 2000-an.
Selepas dewan dipanaskan The Times, tiba giliran kumpulan legenda OAG mengambil alih pentas menerusi seleksi lagu malar segar mereka.
Vokalis utama OAG, Radhi, tampil penuh penuh bertenaga membuka tirai segmen mereka dengan lagu SoulLa Watt dan Horrible Adorable.
Penyanyi berusia 49 tahun itu terlebih dahulu menyambut kehadiran peminat dengan kalimah salam dan alunan selawat puji-pujian kepada Allah SWT.
Assalamualaikum, lailahaillallah itu penting. Dunia ini hanya sementara, akhirat jua yang selamanya,” ucapnya.
Dia kemudian meneruskan aksi lincah dengan mendendangkan lagu popular Knocked Silly, Beautifool, Sericandy, Ztarlazt, PerMYSuri dan Spastic Youth.
Suasana malam bertambah gamat apabila Radhi bertindak mengedarkan cenderamata kaset atau CD album secara percuma kepada penonton, dengan menghadiahkan satu buat peminat lelaki dan satu buat peminat wanita di barisan hadapan.

Radhi kemudian menyambung menghiburkan para penonton sebelum menyanyikan lagu ikonik mereka, Generasiku.
Momen lagu Generasiku berkumandang menjadi antara detik paling emosional dan epik apabila seluruh dewan bersatu menyanyi beramai-ramai.
Tidak hanya menyajikan hiburan semata-mata, pentas Disko Dansa turut diserikan dengan solidariti sejagat apabila Radhi memimpin seluruh dewan bergema dengan laungan ‘Free Free Palestine!’ sebagai tanda sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin.
OAG kemudian menutup segmen solo mereka dengan dendangan lagu popular mereka berjudul 60’s TV. Kemuncak malam paling ditunggu-tunggu penonton pastinya apabila OAG dan The Times bergabung tenaga di atas pentas pada penghujung acara.
Kolaborasi epik ini membuka tirai gabungan mereka menerusi lagu Gadisku Dalam Koma Singapura-Kuala Lumpur dan Tunjuk Perasaan.
Rentak konsert diteruskan dengan pilihan lagu bertenaga seperti Nowwhy2, Slumber, Konspirasi Bising, Biru, Akustatik dan Venusia.
Kemuncak emosi penonton mencapai tahap maksimum apabila lagu malar segar Senyuman Ragamu berkumandang.
Seluruh dewan bergema dengan suara penonton yang mengalunkan lagu tersebut bersama para pemuzik di atas pentas. Sebagai penutup tirai rasmi Konsert Disko Dansa Generasiku, OAG dan The Times menyanyikan lagu Don’t Look Back in Anger secara beramai-ramai.
Pilihan lagu penutup tersebut membuktikan bahawa irama rock alternatif era 1990-an dan 2000-an tidak pernah padam, malah merentas zaman.

