‘Elegant Selamanya’ himpun 10 anak seni popular

MENYATUKAN  10 anak seni daripada generasi berbeza dalam satu pentas, Elegant Cosmetics mahu menjadikan konsert Elegant Selamanya sebagai malam yang meraikan kecantikan dalam konteks lebih luas, bukan hanya bersandarkan rupa paras.

Persembahan mega di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Oktober ini menampilkan Datuk Ziana Zain, Erra Fazira, Adira Suhaimi, kumpulan Elite, Nourul, Anggrek, Umai, Audra, Azar Azmi dan satu-satunya penyanyi lelaki, Zaki Yamani.

Pengarah Elegant Cosmetics, Datuk Al Amin berkata, pemilihan seleksi  artis dibuat berdasarkan karakter serta personaliti mereka yang mampu membawa pelbagai tafsiran mengenai kecantikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ziana, Erra, Adira, kumpulan Elite, Nourul, Anggrek, Umai, Odda dan Azar Azmi mewakili sifat kecantikan wanita yang subjektif.

“Kecantikan juga bukan hanya tentang paras rupa dan penampilan, malah  turut meliputi keperibadian termasuk sikap atau cerminan hati,” katanya pada sidang media konsert berkenaan, baru-baru ini.

Lambang kecantikan 

Menurut Al Amin lagi, kehadiran Zaki Yamani sebagai penyanyi lelaki tunggal pula memberikan perspektif berbeza terhadap tema kecantikan yang ingin diketengahkan menerusi konsert tersebut.

“Menjadi bonus apabila Zaki Yamani menjadi satu-satunya penyanyi yang  mewakili dan memberi pengertian kecantikan dari sudut pandang seorang lelaki juga memiliki persona kecantikan tersendiri.

“Elegant Cosmetics melihat ciri-ciri ini ada pada semua artis yang bakal bergabung dan menghangatkan malam bersejarah itu di Zepp Kuala Lumpur nanti,” ujarnya.

Tambah Al Amin, pihaknya percaya persembahan mega itu mampu menjadi satu momen yang meraikan kecantikan daripada sudut seni dan manusiawi tanpa mengira jantina.

“Justeru, kami di Elegant Cosmetics percaya malam konsert Elegant Selamanya bakal menjadi momen yang meraikan ‘kecantikan’ daripada sudut seni dan manusiawi tanpa mengira jantina.

“Kami juga tidak bermaksud merendahkan penyanyi atau wanita lain dengan konotasi kecantikan cuma pemilihan barisan ini lebih kepada kesesuaian mereka dengan konsep menghimpunkan legenda daripada beberapa generasi anak seni,” ujarnya.

Erra teruja

Sementara itu, Erra menyifatkan konsert tersebut sebagai ruang untuk peminat meraikan definisi kecantikan mengikut pemahaman masing-masing.

“Saya menyifatkan penganjuran konsert ini sebagai lebih daripada malam yang menghimpunkan 10 artis atau penyanyi di atas satu pentas demi menghiburkan penonton.

“Matlamatnya jauh daripada itu kerana lebih utama adalah melihat peminat, terutama wanita agar lebih memahami serta meraikan kecantikan buat diri sendiri,” katanya.

Menurutnya, kecantikan tidak seharusnya diukur berdasarkan penampilan luaran semata-mata, sebaliknya turut berkait dengan cara seseorang menghargai diri sendiri.

“Cantik itu bukan soal penampilan atau perlu sentiasa bersolek, sebaliknya tentang bagaimana kita menghargai diri sendiri, lalu aura kecantikan akan terpancar secara semula jadi,” ujarnya.

Selain persembahan muzik, konsert Elegant Selamanya turut menjadi platform untuk Elegant Cosmetics memperkenalkan produk terbaharu menerusi satu segmen khas sebelum persembahan bermula.

Sementara itu, konsert tersebut nakal mendapat sentuhan Jay Kugat selaku Pengarah Muzik yang bertanggungjawab menyusun perjalanan konsert dan memastikan pengalaman yang menarik buat penonton.

Tiket boleh didapati atau ditempah menerusi platform nak.info/elegant bermula 

3 Oktober lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok