PELAKON Keith Foo mengakui lebih selesa menjaga privasi hubungan percintaannya bersama aktres Riena Diana berbanding terlalu terbuka berkongsi kisah peribadi kepada khalayak.
Keith, 43, berkata, pendirian itu diambil bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, apatah lagi dia turut mempercayai kewujudan penyakit ain atau ‘evil eye’ seperti yang sering diingatkan oleh ibunya.
“Saya seorang yang lebih mementingkan privasi dan ada perkara melibatkan kehidupan peribadi lebih baik disimpan sendiri. Kalau berkaitan kerja, memang kami akan kongsikan semuanya, tetapi kita perlu tahu batas masing-masing.
Saya juga percaya penyakit ain itu wujud. Dalam kepercayaan saya pun ada perkara yang sama, kami memanggilnya ‘evil eye’.
“Ibu saya selalu berpesan mengenai perkara seperti itu dan kadang-kadang dia turut mengingatkan Riena. Ibu sentiasa mengingatkan kami berdua,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada acara watch party drama Suamiku Anak Mak di Bukit Jalil, semalam.
Mengulas sikap Riena yang dilihat lebih terbuka berkongsi kisah peribadi, termasuk mengenai perselisihan faham menerusi siaran langsung di media sosial, Keith menyifatkan setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam mengekspresikan diri.
Menurutnya, perselisihan faham dalam sesebuah hubungan merupakan perkara biasa, namun setiap masalah sebaik-baiknya diselesaikan secara peribadi tanpa perlu dikongsikan kepada umum.
“Dalam apa jua hubungan, pertengkaran itu perkara biasa. Kalau tidak ada perselisihan faham, bagaimana kita hendak menyesuaikan diri dan mengenali satu sama lain? Saya rasa itu normal.
Selepas apa yang berlaku, kami akan duduk berbincang dan mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki. Kalau perkara itu remeh-temeh, tidak perlulah dikongsikan. Jika boleh diselesaikan antara kami berdua, selesaikan sahaja.
“Kebanyakan masa, kami akan berbincang mengenai apa yang berlaku dan daripada situ kami tahu perkara yang perlu dilakukan dengan lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya.
Ditanya mengenai penerimaan keluarga, Keith mendedahkan ibunya pernah menyuarakan hasrat agar mereka segera mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun, dia tidak menganggap perkara tersebut sebagai satu tekanan.
“Hubungan saya dengan Riena baik-baik sahaja. Doakan yang baik-baik, semuanya berjalan lancar. Apa yang penting, hubungan kami semakin kukuh dari hari ke hari dan kami berdua fokus terhadap kerjaya masing-masing.
“Ibu saya ada juga bertanya dan selalu cakap kalau hendak kahwin, cepatlah kahwin. Usianya sudah lebih 80 tahun, tetapi saya tidak berasa terbeban kerana percaya ibu memahami keadaan saya.
“Kadang-kadang kita perlu mengimbangi keadaan dan menjelaskan sesuatu supaya mereka memahami kita.
“Bukannya hendak menderhaka atau melawan cakap ibu, tetapi dalam perkara tertentu, kita sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan sendiri,” jelasnya. – HIBGLAM

