Permintaan tinggi, showcase Amir Masdi tambah satu malam

TIDAK cukup dengan satu malam, Amir Masdi hadir dengan berita gembira apabila acara eksklusifnya, AM:PM Showcase yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur menambah slot menjadi dua malam persembahan.

Impak sambutan hangat yang diterima, peminat yang terlepas peluang memiliki tiket pada persembahan malam 20 Disember berpeluang menyaksikan persembahan Amir untuk malam kedua pula yang dijadualkan sehari awal sebelum tarikh asal iaitu pada 19 Disember.

“Disebabkan permintaan yang tinggi dan untuk tidak mengecewakan hati peminat tegar Amir, kami mengambil keputusan untuk meneruskan Showcase ini buat hari kedua.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tiket untuk Battle sudah mula dijual bermula malam ini, Sabtu, 14 November, jam 9:30 malam. Showcase eksklusif ini akan mengambil masa selama dua jam dan lebih kurang 22 buah lagu hit Amir akan dipersembahkan,” katanya Ekmal Md Nor selaku Pengarah Projek mewakili penganjur AM: PM Showcase, ULTIMATE MEDIA.

AM:PM Showcase bakal menjadi sebuah pengalaman eksklusif yang menampilkan sisi paling peribadi Amir sebagai seorang penyanyi, penghibur dan pengkarya.

Penganjuran kali ini juga menepati impian Amir sendiri yang menginginkan adanya slot malam kedua memandangkan jualan tiket untuk malam pertama laris terjual.

Menurut Amir, idea menghasilkan AM:PM Showcase lahir daripada keinginan untuk meraikan perjalanan seni bersama peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sejak awal pembabitannya dalam industri muzik.

Dia mahu setiap individu yang hadir merasakan hubungan yang lebih dekat dengan setiap lagu dan cerita yang dibawakan sepanjang persembahan.

“Saya selalu percaya setiap lagu ada kisahnya sendiri, dan setiap peminat juga ada cerita yang menghubungkan mereka dengan lagu-lagu tersebut. Sebab itu saya mahu AM:PM SHOWCASE menjadi sebuah malam yang cukup istimewa.

“Saya mahu semua yang hadir bukan sekadar menonton persembahan, tetapi pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan.

“Kami sedang menyiapkan pelbagai elemen baharu supaya pengalaman pada malam itu benar-benar berbeza daripada persembahan yang pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya.

Amir menyifatkan ‘showcase’ berkenaan sebagai hadiah penghargaan kepada semua yang terus percaya dan menyokong perjalanan muziknya selama ini.

Tiket bagi AM:PM Showcase dijual menerusi platform ILASSO TICKETS dengan pilihan kategori bermula daripada serendah RM111 hingga RM350. Peminat yang ingin menikmati pengalaman lebih eksklusif di VIP BOX (Seated) boleh mendapatkannya dengan harga RM6500/BOX yang boleh memuatkan seramai 10 orang di dalamnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok