PELAKON Que Haidar mengakui aktres Nur Fazura sememangnya gemar mengusik dirinya sejak dahulu termasuk menggelarnya dengan panggilan ‘ayang’ seperti yang dipaparkan dalam sebuah video tular baru-baru ini.
Menurut Que atau nama penuhnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 47, Fazura disifatkan lebih berani menyakat berbanding dirinya yang agak pemalu.
“Kami memang suka bergurau sejak dulu lagi, ketika zaman muda-muda. Cuma saya pemalu tetapi dia berani sikit.
“Dari dulu memang dia suka kacau saya. Bukan kacau nak mengurat tetapi memang jenis suka menyakat orang.
“Jadi, usikan itu memang perkara biasa antara kami sebagai kawan lama. Panggilan sayang pun usikan sahaja,” katanya kepada HibGlam pada sidang media drama Nak Dengar Cerita Hantu 2 terbitan Unifi TV di sini, semalam.
Mengulas mengenai hubungan antara mereka yang masih menjadi teka-teki ramai, dia mengakui ibu kepada seorang cahaya mata itu merupakan antara wanita paling rapat dengannya ketika ini.
“Betul (paling rapat). Kami pernah bekerja dalam beberapa buah filem bersama sebelum ini. Berkawan dan lepak sama-sama dulu.
“Bila saya buat kemunculan semula, kami digandingkan untuk kempen sebuah jenama pakaian tahun ini.
“Saya teruja sebab dia kawan lama saya, selesa bekerja dengan dia. Sekarang kami bersahabat dan rakan wanita yang rapat dengan saya,” katanya lagi.
Menyentuh keperibadian Fazura, dia menyifatkan aktres tersebut sebagai seorang wanita yang memiliki keperibadian baik dan tidak pernah menunjukkan keprihatinan terhadap orang sekeliling.
“Dia mempunyai hati yang baik, sangat prihatin dan ambil berat, perkara itu tidak pernah berubah sejak dulu.
“Dia seorang yang kelakar. Mungkin bukan dengan saya saja tetapi dengan orang lain pun saya tengok dia kelakar juga,” ujarnya.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan Fazura mengusik Que dengan memanggil sebagai ‘ayang’ ketika bersiaran langsung baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Nak Dengar Cerita Hantu 2 yang bersiaran sejak 21 September lalu turut dibintangi Zizan Razak, Chacha Maembong, Arfie Shah, Datuk Adi Putra dan Nazrief Nazri.
Drama lapan episod tersebut merupakan arahan Waan Hafiz dan ditayangkan menerusi saluran Degup Unifi TV.
Sebelum ini, kemesraan hubungan Que dan Fazura menjadi bualan ramai selepas kedua-duanya dilantik sebagai duta dan bekerjasama mempromosikan sebuah jenama tesktil tempatan.
Hubungan mesra mereka turut membuatkan ramai mula ‘menjodohkan’ pasangan sahabat itu selain tercetus tanda pagar #QuelaFaz
Bagaimanapun, Que sebelum ini memberitahu hubungannya bersama Fazura tidak lebih sekadar sahabat baik. – HIBGLAM

