Bukan untuk ditandingi, Gema Bumantara jadi dokumentari

KEJAYAAN konsert Gema Bumantara mengangkat martabat muzik tradisional ke pentas berskala besar menjadi satu pencapaian membanggakan buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, apatah lagi apabila persembahan tersebut menerima pengiktirafan di peringkat ASEAN dan Asia.

Lebih bermakna, pementasan yang lahir daripada impian sekian lama tersebut berjaya membuka mata ramai pihak terhadap keupayaan muzik tradisional untuk diketengahkan menerusi produksi bertaraf mega, sekali gus mencetuskan permintaan agar konsep sama diadakan semula termasuk di luar negara.

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin berkata, pengiktirafan yang diterima bukan kejayaan peribadi semata-mata, sebaliknya didedikasikan kepada ribuan individu yang bekerja keras menjayakan konsert Gema Bumantara dan Legacy 30.

Memuatkan artikel berkaitan…

Belum move on

Menurut anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kali kedua diterimanya selepas meraih penghargaan menerusi lagu Mandarin dalam sebuah acara anjuran Cuckoo serta lagu bersama Firdaus sebelum ini.

“Ini bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi buat rakan-rakan semua melihat kerja keras di belakang tabir. Ada ramai insan, saya boleh katakan beribu orang yang terlibat untuk konsert Legasi 30 dan juga Gema Bumantara.

“(Kepada) mereka yang sebenarnya saya dedikasikan anugerah ini. Kalau saya seorang buat tanpa mereka, tidak akan menjadi konsert sehebat dan segah itu,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas kemungkinan menghasilkan pementasan lebih besar selepas ini, pelantun lagu Cindai itu belum mempunyai perancangan khusus kerana memerlukan masa untuk meneliti konsep dan hala tuju persembahan seterusnya.

Beliau juga terbuka sekira mana-mana pihak atau penganjur berminat untuk memberinya peluang menghasilkan pementasan lebih besar selepas ini.

“Saya tiada jawapan kalau orang tanya Gema Bumantara akan ada lagi atau tidak. 

“Sejak awal ketika hendak menjual tiket pun saya sudah berkata, semua ini dilakukan kerana tidak tahu sama ada boleh buat lebih besar lagi selepas ini.

“Buat masa ini, permintaan memang ada termasuk untuk mengulangi Gema Bumantara 2.0 tetapi saya perlukan masa dan perancangan teliti sekiranya mahu menghasilkan sesuatu yang lebih besar atau mungkin sama cuma pembaharuan harus ada serta nilai yang mahu saya angkat dalam muzik tradisional,” ujarnya.

Bagaimanapun, Siti belum bercadang membawa produksi berkenaan ke luar negara secara besar-besaran kerana mengambil kira kos pengangkutan serta pengurusan pasukan produksi yang ramai.

Meskipun begitu, dia sudah menerima undangan untuk mengadakan persembahan di Singapura, namun masih memikirkan konsep dan tarikh yang bersesuaian.

“Kalau untuk membawa ke luar negara, setakat ini saya boleh katakan permintaannya tidak sebanyak permintaan untuk saya mengulanginya di sini. Kalau hendak bawa ke luar negara, kosnya juga besar kerana kita membawa pasukan yang besar.

“Saya sebenarnya masih belum boleh move on. Saya mahu menikmati momen-momen mereka yang hadir ke konsert lalu. Ada yang pertama kali hadir dan ada juga yang tidak menyangka muzik tradisional boleh menjadi sehebat itu.

“Saya masih dalam mood itu lagi. Macam dalam pantang 44 hari,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Siti terbuka sekiranya ada penganjur atau syarikat swasta berminat membawa konsep Gema Bumantara ke lokasi lain menerusi persembahan berskala lebih kecil, termasuk kemungkinan mengadakan siri jelajah di dalam negara.

“Saya tidak mahu berjanji kerana nanti peminat akan tuntut tetapi konsep itu sudah ada dan tidaklah susah sangat untuk dilaksanakan.

“Saya senang hati kalau ada pihak penganjur atau syarikat swasta yang berminat membawa Gema Bumantara menjelajah Malaysia atau mengadakan persembahan konsert solo di tempat tertentu,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia turut menyimpan hasrat mengabadikan semua momen manis konsert Gema Bumantara dan Legacy 30 dalam bentuk penerbitan dokumentari yang berpotensi ditayangkan di pawagam atau platform penstriman Netflix.

“Kalau boleh, saya mahu semua simpan semua itu dalam sebuah dokumentari. Saya membayangkannya ditayangkan di pawagam tetapi saya perlu fikirkan banyak perkara.

“Kalau tidak dapat ditayangkan di pawagam, kita pergi Netflix. Rakaman Legacy 30 sebenarnya sudah siap disunting dan sekarang sedang berbincang dengan pihak yang terbabit.

“Gema Bumantara pula belum disunting. Saya belum tahu sama ada mahu gabungkan kedua-duanya atau keluarkan secara berasingan,” ujarnya.

Terus gemilang pada usia melepasi garis 47 tahun, Siti kini dalam proses negosiasi untuk dua konsertnya ditayangkan di platform OTT.

Tidak bersaing

Meleraikan perdebatan ramai, ibu kepada dua cahaya mata itu menegaskan Gema Bumantara bukan dianjurkan untuk menjadi bersaing dengan mana-mana pihak,sebaliknya lahir daripada rasa tanggungjawab memartabatkan irama tradisional tanah air.

“Saya buat ini bukan untuk ditandingi atau mahu menyuruh orang berlawan tetapi atas tanggungjawab Siti kepada irama tradisional.

“Saya mahu tunjukkan bahawa kalau buat persembahan tradisional, inilah yang saya berikan.

“Apa yang membuatkan konsert ini menjadi lebih luar biasa ialah ketika hujan dan penonton tidak bergerak,” ujarnya lagi.

Tambahnya, kehadiran peminat dari luar negara termasuk Indonesia dan Thailand yang sanggup datang ke Malaysia semata-mata untuk menyaksikan konsert berkenaan turut memberikan menjentik emosinya.

“Perkara seperti ini membuatkan saya bertambah semangat setiap kali mengadakan konsert. Sebab itulah saya buat semua ini untuk mereka yang sudah berkorban masa dan wang. 

“Saya tidak mahu peminat hampa. Setiap kali mengadakan konsert, saya perlu mencari perkara menarik supaya mereka boleh pulang dengan memori indah.

“Itu penting bagi saya supaya mereka mahu datang lagi. Mereka mengumpul kenangan bersama-sama saya tambahan pula hidup ini singkat sahaja dan tidak tahu bila lagi kita berpeluang berkongsi kenangan manis seperti ini,” tuturnya.

Di sebalik kejayaan tersebut, Siti tidak melupakan peranan semua pihak terutama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang menjadi antara individu penting dalam memberikan sokongan terhadap projek seni berskala besar yang diusahakannya.

“Paling penting, setiap kerja yang saya lakukan, kalau tidak ada sokongan kuat daripada suami saya — tidak akan berlaku juga. 

“Kalau saya hendak buat macam-macam, dia akan kata, ‘nak buat apa, tidak payahlah’ dan ada juga dia cakap ‘tak payah buat itu ini.’

“Tetapi saya Siti Nurhaliza. Kalau saya rasa hendak buat sesuatu untuk konsert, saya akan tetap cakap, ‘saya nak juga!’” ujarnya.

Dalam kesibukan menjayakan persiapan, Siti turut berdepan detik cemas apabila terjatuh ketika menjalani latihan hanya lima hari sebelum konsert berlangsung namun bersyukur tidak mengakibatkan kecederaan serius.

“Saya terjatuh sewaktu latihan, lima hari sebelum konsert. Wajah saya mengalami sedikit kemalangan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah masih melindungi saya dan tidak mengalami kecederaan serius. Cuma tisu muka saya lebam, bengkak dan luka.

“Mula-mula orang ingat saya kena dera dengan Datuk K!” katanya lagi.

Nyanyi dalam kampung

Sempat beralih kepada perjalanan awal dalam bidang seni, Siti turut mengimbas kembali rakaman tular memaparkannya membuat persembahan di Kampung Bantal, Taman Negara, Pahang sekitar tahun 1996.

Katanya, rakaman tersebut dibuat ketika dia baru bergelar anak seni dan masih aktif memenuhi undangan persembahan bersama kumpulan muzik yang dianggotai ahli keluarganya.

“Ketika itu saya baru sahaja menjadi artis tetapi dalam masa sama, itu ialah kumpulan muzik bapa saudara saya. Kami memang selalu mendapat undangan menyanyi di sekitar negeri Pahang.

“Persembahan di Kampung Bantal itu pula selepas bekalan elektrik baru masuk ke kampung tersebut. Ketika itu, artisnya kira Siti Nurhaliza sudah grand-lah,” katanya berseloroh.

Mengimbau pengalaman ketika mula membina nama, Siti berkata, dia tidak kekok membuat persembahan di lokasi terpencil kerana menganggap pengalaman tersebut sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dalam perjalanan seninya.

“Biasalah, kami kumpulan muzik kampung, menyanyikan lagu-lagu yang popular ketika itu seperti lagu dangdut. Memang lagu sebegitu menjadi kegemaran orang.

“Kalau orang kahwin, lagu dangdut itu memang lagu cari makan saya. Itulah kenangan yang dirakamkan dalam video tersebut. 

“Saya memang pernah menyanyi di funfair, majlis perkahwinan dan acara di kampung-kampung. 

“Kadang-kadang menyanyi di kawasan yang lecak apabila hujan. Dari pengalaman itulah kita belajar, termasuk menerusi pentas-pentas yang lain,” katanya sebelum menutup bicara.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok