‘Saya mohon maaf cemarkan nama baik Yusof Haslam, keluarga’

PELAKON Gerak Khas 2.0, Tisha Shamshir memohon maaf kepada penerbit, Datuk Yusof Haslam susulan kes dadah membabitkan dirinya yang menjejaskan kredibiliti pengarah terkenal itu.

Tisha atau nama sebenarnya, Shanorbiah Shamsir Alam, 40, berkata, permohonan maaf serupa juga ditujukan kepada ahli keluarganya berikutan kes yang kini masih dibicarakan di mahkamah.

“Saya ingin memohon maaf kerana saya sedar perkara ini sedikit sebanyak telah mencemarkan nama baik majikan saya, Datuk Yusof Haslam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya juga ingin meminta maaf kepada keluarga saya. Saya doakan yang terbaik sahaja.

“Apa pun, ujian daripada Allah itu memang hebat, memang berat. Saya terima dengan hati terbuka dan harap saya kuatlah,” kata Tisha selepas sebutan semula kesnya di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Begitupun, pelakon juga penyanyi itu enggan mengulas lanjut mengenai prosiding berkenaan selain hanya meminta ruang untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan. Maaf, saya minta maaf. Saya cuma nak menjalani kehidupan seperti biasa,” ujarnya.

Pada masa sama, Tisha meminta netizen agar tidak terburu-buru menghukum seseorang tanpa mengetahui perkara sebenar.

“Apa yang boleh saya katakan di sini, kita semua manusia biasa. Kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan atau kekhilafan.

“Saya minta netizen di luar sana janganlah terlalu cepat untuk menghukum seseorang,” katanya.

Ditanya mengenai kesan kontroversi tersebut terhadap kerjayanya, Tisha mengakui perkara itu sedikit sebanyak memberi impak terhadap perjalanan profesional sebagai pelakon.

“Sedikit sebanyak memang ada,” katanya.

Hari ini, pelakon itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.10 pagi berbaju kebaya moden serba biru, memakai pelitup muka dan tiga diiringi pengawal peribadi. Hasil prosiding, mahkamah menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes.

Pada 7 Julai lalu, pelakon drama bersiri Gerak Khas 2.0 itu ditahan bersama beberapa individu lain di sebuah bilik VIP di sebuah pusat hiburan di ibu negara dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Serbuan menerusi Op Noda itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama IPD Dang Wangi pada pukul 3.15 pagi.

Susulan itu, tertuduh, Tisha mengaku tidak bersalah ketika perbicaraan kes di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada 10 Julai lalu dan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ainna Maryam Norazman mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warganegara.

Tisha yang diwakili peguam bela, Nik Azhar Nik Adib memohon jumlah jaminan rendah dengan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan hari ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok