BUKAN pengikut tegar siri Buku Fixi tulisan Ariff Adly berjudul Kacau, namun adaptasi filem dengan judul sama ternyata memberi impak tersendiri kepada penulis.
Antara perihal yang memberi dampak kepada penulis secara peribadi adalah sinematografi filem arahan Muzzamer Rahman itu. Pencahayaan, muzik latar dan reka bunyi adalah apa dilunaskan secara cemerlang.
Bukan berniat membanding-bandingkan, namun muzik latar naskhah Kacau berada di tangga sendiri. Ada elemen tradisional termasuk gesekan cello yang secara automatik ‘menegakkan’ segala bulu roma sewaktu babak cemas atau ‘horror’ dimainkan.
Kacau mengisahkan sekumpulan anak muda yang terjebak dalam permainan ritual Spirit of the Coin di sebuah pusat beli-belah terbiar.
Permainan yang awalnya dilakukan sekadar suka-suka bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka tanpa sengaja membangkitkan Malika, entiti misteri yang menghuni bangunan berkenaan.
‘Gambar’ cantik
Sejak itu, seorang demi seorang mula diganggu dan menemui ajal secara mengerikan. Dalam usaha mencari jalan keluar, Jimie bersama rakan-rakannya terpaksa berdepan gangguan makhluk halus, ketakutan, rasa bersalah dan sebuah rahsia lama.
Barangkali alur cerita sedemikian kedengaran klise, namun garapan Muzzamer selaku pengarah berjaya menghidupkan kisah ‘horror’ remaja (Gen Z) yang mungkin tidak mengena secara ‘bullseye’ kepada penonton.
Kendatipun, Kacau ada mood tersendiri untuk berdiri sebagai sebuah karya ‘horror’. Ditambah dengan komitmen pelakonnya yang faham bagaimana untuk melunaskan tugas di layar perak tanpa terlalu berlakon.
Bukan mudah mengadaptasi novel ke layar perak dan perihal itu nampak jelas dalam Kacau, terutama dari segi keberkesanan plot dan naratf.
Ada babak yang menurut penulis sedikit longgar hingga mengganggu konsentrasi tontonan. Adakala sudut pandang penonton berada di lokasi A, kemudian berubah ke lokasi B atau yang lain.
Masalah
Perihal sebegitu mungkin bukan menjadi satu masalah buat kebanyakan penonton, namun buat sesiapa yang asing dengan Buku Fixi, situasi itu boleh membantutkan selera untuk menghabiskan tontonan. Mujur buat penulis, visual dan skor muzik menderas adrenalin tontonan.
Dalam pada itu, kualiti lakonan dan keserasian barisan pelakon, semuanya dijayakan dengan baik memandangkan ada sebahagian yang masih hijau dalam dunia layar perak.

Idan dan Fimie menjadi senior yang berjaya menghidupkan suasana dengan lontaran dialog yang bersifat rawak dan bersahaja.
Kemenjadian ‘jumpscare’ dalam Kacau juga antara perihal yang membuatkan filem ini lain daripada yang lain. ‘Jumpscare’ yang dipaparkan tidak melampau-lampau.
Bagi penulis, ada beberapa momen sepanjang tontonan yang cukup mencetuskan kejutan, khususnya menerusi teknik ‘jumpscare’ yang hadir tanpa diduga.
Elemen tersebut bukan sahaja berjaya membuatkan penulis tersentak, malah membangkitkan rasa ingin tahu untuk terus mengikuti perkembangan cerita dan mengetahui apa yang bakal berlaku seterusnya. Sekali gus, Kacau berjaya mengekalkan kewaspadaan penulis sepanjang tayangan tanpa memberi ruang untuk mata terlelap.
Secara keseluruhannya, Kacau merupakan sebuah naskhah seram yang bukan sekadar mengundang rasa takut, malah mengajak penonton berfikir dan meneliti setiap peristiwa yang dipaparkan. Meskipun belum mampu mengatasi kehebatan karya terdahulu, khususnya Prebet Sapu yang kekal sebagai pilihan nombor satu penulis, Kacau tetap hadir sebagai percubaan yang wajar dipuji.
Barangkali, pengarah terbabit memerlukan lebih banyak ruang dan peluang untuk meneroka potensi dalam genre seram. Apa pun, satu usaha yang baik. Syabas dan tahniah!
KACAU Pengarah: Muzzamer Rahman Pelakon: Idan Aedan, Fimie Don, Arfie Shah, Sadiq M. Jamil, Khayrisyah Kemal, Nurel Baharin dan Evanatie Sannie Tayangan: 12 November 2026 Genre: Seram / Thriller psikologi Bintang: 4/5

