SANGGUP berhabis RM7,000 demi menjayakan watak, pelakon Nabila Huda meluahkan kekecewaan apabila drama bersiri Cela masih belum ditayangkan semula di Malaysia selepas dihentikan pada September lalu susulan kontroversi yang tercetus.
Nabila atau nama lengkapnya, Nabila Huda Suhaimi, 41, menegaskan bahawa naskhah yang mengangkat isu grooming, manipulasi dan trauma itu bukan bertujuan menormalisasikan perbuatan salah, sebaliknya membuka mata masyarakat tentang pentingnya melindungi keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.
“Kadangkala, perkara yang membuatkan kita tidak selesa bukan kerana lakonan itu terlalu nyata, tetapi kerana kita tahu perkara seperti itu memang wujud dalam masyarakat.
“Cerita yang membuatkan anda tidak selesa tidak semestinya kisah berbahaya. Kadangkala, itulah cerita yang perlu disampaikan,” katanya dalam perkongsian dalam Instagram.
Pada masa sama, Nabila turut mempersoalkan kecenderungan menyalahkan filem atau drama sebagai punca rosak akhlak, sedangkan tanggungjawab mendidik dan memantau anak-anak terletak di bahu ibu bapa.
Menurut pelakon yang membawakan watak Datuk Anees dalam naskhah Viu Original itu, ibu bapa perlu mengambil tahu pergaulan anak-anak, memahami perkara yang mereka lalui selain memberikan ruang untuk mereka meluahkan perasaan tanpa rasa takut.
“Sebagai ibu bapa, tugas kita bukan sekadar membesarkan anak-anak. Kita perlu memantau, berbual dengan anak, mengenali rakan-rakan mereka dan paling penting, mendengar apabila mereka cuba bercakap,” ujarnya.
Dia turut meluahkan rasa terkilan apabila usaha seluruh pasukan produksi seolah-olah tidak dihargai apabila sesebuah karya berdepan sekatan penayangan.
Katanya, penerbitan drama memerlukan persiapan berbulan-bulan serta pengorbanan besar daripada pelakon, pengarah, penulis dan kru produksi yang mencurahkan masa, tenaga serta wang demi menjayakan cerita berkenaan.
“Kami bukan tidak boleh menerima kritikan kerana itu sebahagian daripada dunia seni tetapi terdapat perbezaan besar antara mengkritik sesebuah karya dengan menyekat peluang masyarakat untuk menonton, memahami dan menilainya sendiri,” ujarnya.
Malah katanya, dia sendiri sanggup mengeluarkan wang sendiri berjumlah RM7,000 bagi persalinan lengkap termasuk kasut dan mewarnakan rambut selain mendapatkan khidmat jurusolek khas bagi memastikan watak wanita korporat dibawakan ‘menjadi’.
“Cantik memang cantik, tetapi macam tak dapat aura Anees yang saya bayangkan, jadi saya kembali membaca skrip, mengkaji dan membayangkan semula siapa wanita ini, caranya membawa diri serta imej yang mahu ditonjolkan kepada dunia.
“Saya tahu kita ada jabatan kostum dan itu bukan tanggungjawab saya untuk keluarkan duit sendiri. Saya bukan buat semua ini kerana perlu, sebaliknya kerana saya mahu.
“Ada perbezaan antara berpakaian untuk kelihatan cantik dengan berpakaian untuk menjadi orang lain. Saya nak apabila orang tengok Datuk Anees, mereka nampak Datuk Anees, bukan Nabila Huda. Saya bukan sekadar mahu melakonkan watak, saya mahu menjadi watak itu,” katanya.
Menerusi perkongsian sama, Nabila berterima kasih kepada penonton di Indonesia dan Singapura yang mengikuti Cela dari episod pertama hingga episod akhir, selain berharap mesej yang dibawa drama itu dapat dijadikan pengajaran.
Drama arahan Feroz Kader dan terbitan Global Film Station ini turut dibintangi Hun Haqeem sebagai Kart, Zarif Ghazzi, Zain Saidin dan Ellyza Azizi.
Ceritanya berkisar tentang Kaer iaitu seorang remaja yang masih bersekolah bergelut mencari ketenangan selepas kematian bapanya dalam satu tragedi dan kemudian jatuh cinta dengan Datuk Anees, wanita pertengahan usia. – HIBGLAM

