ANTARA genre yang diminati ramai, platform penstriman Netflix sekali lagi membawa naskhah mengetengahkan isu perubatan iaitu Doctor X: Mafia in White.
Sejak ditayangkan pada 9 Oktober lalu, karya tersebut terus mencetuskan fenomena luar biasa apabila berjaya melonjak ke tangga teratas carta global Netflix dengan jutaan jumlah tontonan.
Naskhah itu diterajui barisan pelakon berkaliber seperti Kim Ji-won yang memegang watak Doktor X iaitu pakar bedah genius selain diperkuatkan dengan lakonan mantap Lee Jung-eun dan Son Hyun-joo.
Kisah mendebarkan ini menyoroti ketegasan seorang doktor bedah misteri yang berani mengambil alih kes-kes sukar demi menyelamatkan nyawa tetapi dalam masa sama mencabar hierarki angkuh, budaya ‘kaki kipas’ dan rasuah pihak atasan hospital.
Lebih daripada sekadar aksi cemas dalam dewan bedah, siri ini menyuntik mesej berat mengenai integriti dunia perubatan serta kecaman terhadap ketamakan kuasa dan rasuah sehingga sanggup memperjudikan nasib pesakit. – HIBGLAM

