Zul Ariffin hairan Jun Lojong tak tercalon FFM35

BERLAPANG dada apabila namanya tidak tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), aktor Zul Ariffin lebih hairan terutama Jun Lojong tercicir daripada sebarang pencalonan edisi kali ini.

Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, 39, bagaimanapun menyifatkan pencalonan dan kemenangan anugerah sebagai bonus dalam kerjaya seorang pelakon, bukannya matlamat utama yang perlu dikejar mana-mana pelakon.

“Luar bidang kuasa saya. Bukan saya seorang sahaja (tak tercalon). Sabri Yunus pun tiada. We got Jun Lojong untuk filem Polong. Pun tidak dicalonkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tak tahu. Cara orang menghakimi, kita tak tahu. Bak kata orang kampung, ‘bok pigidah’. Nak pusing macam mana pun, saya punya pendapat, tetap pendapat saya.

“Bagi saya, tahniah kepada semua yang tercalon. Yang masih belum (tercalon) termasuk saya, let’s go! (ayuh ke depan!). Kita buat lagi (baik) lepas ini, tiada masalah.

“Buat lebih baik untuk tontonan rakyat, bukan buat untuk pencalonan,” katanya kepada HibGlam usai sesi bersama media filem Pemuja Syaitan di TGV KLCC, di sini, hari ini.

Zul menegaskan, perkara lebih penting adalah memberikan persembahan terbaik serta menghasilkan karya berkualiti untuk tontonan dan hiburan masyarakat.

“Perkara paling penting adalah memberikan persembahan terbaik dan menghasilkan karya untuk tontonan serta hiburan masyarakat.

“Kalau ada pencalonan, alhamdulillah. Kalau tidak ada pun, alhamdulillah. Ia bukan sesuatu yang akan membuatkan saya terlalu kecewa,” katanya lagi.

Menurut Zul, dia sudah beberapa tahun berpegang pada pendirian tersebut dan lebih mengutamakan peluang untuk terus bekerja serta memastikan lakonannya mendapat tempat di hati penonton.

Malah, dia bersyukur apabila masih menerima tawaran daripada pihak produksi dan mendapat sokongan penonton meskipun industri kini semakin dibanjiri pelakon generasi baharu.

“Pada usia saya sekarang, apabila masih ada pihak produksi yang mahu mendapatkan khidmat saya dan penonton masih menerima hasil kerja saya, itu sudah cukup membuatkan saya bersyukur.

“Saya masih mempunyai tanggungjawab dan perancangan untuk menjalani penggambaran pada tahun hadapan. Itulah perkara yang lebih membuatkan saya teruja,” ujarnya.

Zul menegaskan dia tidak pernah menjadikan anugerah sebagai sasaran utama sepanjang bergelar pelakon, sebaliknya sentiasa berusaha meningkatkan mutu lakonannya dari semasa ke semasa.

Dia yang pernah merangkul trofi FFM sebanyak dua kali menerusi edisi ke-26 dan ke-31, mengakui kejayaan tersebut memberikan kepuasan serta motivasi untuk terus berkarya.

Bagaimanapun, dia berpendapat pengiktirafan yang diterima bukan bermakna seseorang pelakon sudah mencapai tahap sempurna sehingga tidak lagi perlu memperbaiki kelemahan diri.

Kejayaan tersebut juga tidak bergantung kepada pelakon semata-mata, sebaliknya merupakan hasil usaha seluruh pasukan termasuk mereka yang bekerja di belakang tabir.

“Kalau boleh, saya mahu semua anugerah diberikan kepada pasukan yang bekerja di belakang kamera.

“Mereka sebenarnya bekerja jauh lebih keras daripada kami yang berada di hadapan kamera. Bagi saya, merekalah wira sebenar dalam industri ini,” katanya.

Sebelum ini, ketiadaan nama Zul dalam senarai pencalonan pelakon terbaik FFM35 mencuri perhatian walaupun empat filem lakonannya iaitu Malam Terlarang, Tarung Unforgiven, The Furious dan Magik Rompak menerima nominasi dalam acara berprestij berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok