‘Mohon maaf atas kejahilan saya, ini pengajaran besar’

PELAKON Zahirah MacWilson sekali lagi memohon maaf secara terbuka kepada penganut agama Kristian susulan ketelanjurannya yang didakwa menghina sambutan Halloween, Krismas dan Easter dalam satu hantaran media sosialnya semalam.

Zahirah, 31, berkata, dia mengakui khilafnya yang menyamakan tiga perayaan berbeza itu selain menegaskan tidak pernah berniat melabelkan Krismas dan Easter sebagai sesat atau bersifat syaitan.

Saya memohon maaf seikhlas-ikhlasnya dan tanpa sebarang syarat terutamanya kepada penganut Kristian yang sangat tersinggung dan terluka dengan kandungan yang telah dimuat naik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tidak lama selepas memuat naiknya semalam, saya menerima satu atau dua mesej (DM) dalam masa sejam dan terus memadamnya kerana sedar sudah menyinggung perasaan orang ramai.

“Saya sama sekali tidak berniat begitu,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Mengakui kenyataannya yang didakwa tidak sensitif terhadap budaya dan kepercayaan lain, Zahirah menegaskan dia sentiasa menghormati kepelbagaian agama dalam masyarakat.

“Saya amat menghormati kepelbagaian budaya, agama, dan kepercayaan yang menjadikan masyarakat kita indah.

“Saya faham bahawa kenyataan itu salah dan tidak sensitif terhadap budaya serta tidak patut diperkatakan langsung.

Sebagai seorang figura awam, saya sepatutnya lebih berhati-hati terhadap perkara yang saya katakan terutamanya apabila menyentuh perihal agama dan tradisi,” ujarnya.

Isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza itu turut mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan tersebut dan menjadikan perkara yang berlaku sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri.

Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang telah dikatakan dan saya benar-benar memohon maaf atas kejahilan saya.

“Saya komited untuk mendengar, belajar, dan merenung kembali agar saya boleh menjadi lebih baik.

Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang telah menegur dan menghantar mesej positif mahupun negatif, saya terima semua.

“Dan sekali lagi, saya benar-benar memohon maaf atas kenyataan tersebut dan ini adalah satu pengajaran yang besar buat saya,” jelasnya.

Semalam, media sosial kecoh selepas Zahirah mempersoalkan beberapa amalan ketika sambutan perayaan berkenaan, termasuk kanak-kanak memakai kostum, meminta gula-gula atau coklat serta duduk di atas pangkuan lelaki lebih berusia.

Menerima kecaman ramai, Zahirah memohon maaf selepas hantaran media sosialnya mengenai sambutan perayaan tertentu mengundang kecaman, selain mengakui masih dalam proses mendalami ilmu berkaitan agama dan kepercayaan.

Ujar Zahirah, dia tidak berniat menyinggung perasaan atau memperlekeh kepercayaan mana-mana pihak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok