‘Kami gaduh-gaduh manja, merajuk tak sampai tiga hari’

TEKA-TEKI hubungan pelakon Fasha Sandha dan adiknya, Elisya Sandha yang didakwa berantakan terjawab apabila kemelut dipaparkan menerusi media sosial sekadar gimik mempromosikan sebuah jenama makanan.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 42, mendedahkan isu pertelagahan mereka turut mengundang keresahan beberapa individu terdekat sehingga ramai kenalan menghubunginya bagi mendapatkan kepastian.

“Tetapi tidak dinafikan, ada juga yang percaya saya dan Elisya bergaduh. Beberapa kawan saya ada menghubungi dan bertanya sama ada perkara itu benar-benar berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka kata saya tidak pernah membuat hantaran beremosi seperti itu sebelum ini. Mereka tertanya-tanya sama ada saya benar-benar sedang bersedih atau mempunyai masalah.

Kami sebenarnya hanya gaduh-gaduh manja dan ini juga ‘drama’ untuk produk Gardenia NuMee. Walaupun ada kala mempunyai pemikiran berbeza, akhirnya akan bertemu di titik tengah kerana saling menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing,” katanya ketika ditemui majlis pelantikan duta Gardenia NuMee, hari ini.

Namun, di sebalik hubungan yang cukup erat, Fasha tidak menafikan ikatan adik-beradik juga bukan selalunya bebas daripada rajuk dan perbezaan pendapat.

Malah, pelakon itu mengakui pernah berkecil hati dengan Elisya, terutama apabila timbul soal pembahagian masa dan perhatian selepas adiknya mendirikan rumah tangga.

“Tipulah kalau adik-beradik tidak pernah berselisih faham, cuma kami bukan bergaduh besar. Lebih kepada merajuk manja, selalunya berkaitan soal masa.

Sebagai kakak, ada waktu saya terasa hati. Kadangkala saya merasakan Elisya lebih banyak meluangkan masa bersama keluarganya sendiri. Perkara itu lebih kerap berlaku ketika dia baru berkahwin.

“Namun, saya perlu menerima hakikat bahawa Elisya bukan lagi bayi yang saya jaga dahulu. Merajuk pun tidak lama, tak sampai tiga hari,” ujarnya.

Sementara itu, Elisya pula mengakui gimik berkenaan kurang berjaya mencetuskan kejutan apabila rata-rata netizen langsung tidak termakan dengan lakonan mereka yang kononnya bermasam muka.

Elisya atau nama sebenarnya Nur Elisya Mohd Faisal, 27, berkata, keakraban mereka yang sudah diketahui umum membuatkan pengikut media sosial sukar mempercayai hubungan dua beradik itu sedang dilanda badai.

“Kami tak boleh hidup tanpa ada antara satu sama lain. Kalau di media sosial saya, kebanyakan pengikut memang tak percaya kerana mereka mengenali hubungan kami.

Walaupun hantaran kami seolah-olah menggambarkan kami bergaduh, mereka tahu perkara itu tidak akan berlaku kerana ikatan kami sangat kuat.

“Saya pun rasa kelakar membaca komen netizen, tetapi mereka sangat baik dan positif,” katanya

Terdahulu, perkongsian dua bersaudara itu di media sosial mengundang pelbagai tanda tanya apabila luahannya seolah-olah membayangkan hubungan mereka retak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok