‘Trofi ini tak definisikan keseluruhan kerjaya saya’

KEMENANGAN dan pengiktirafan yang diraih dalam industri seni bukanlah tiket untuk mendabik dada, sebaliknya menjadi pembakar semangat buat Anna Jobling untuk terus mengorak langkah serta memberikan impak yang lebih besar dan bermakna kepada masyarakat.

Baginya, setiap kejayaan yang dikecapi bukan sekadar pencapaian peribadi, malah menjadi dorongan untuk terus memperbaiki mutu lakonan dan meneroka lebih banyak peluang dalam industri seni.

Tahun ini, dia sekali lagi melakar satu lagi kejayaan dalam lembaran kerjaya sebagai anak seni apabila meraih tiga trofi pada Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT2026) iaitu anugerah utama, Selebriti Feminin Terhangat dan Drama Sangat Terhangat (Yes! Captain Zul Aaryan).

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemilik nama penuh Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman itu menyifatkan setiap kejayaan yang digenggam pada hari ini hadir bersama tanggungjawab besar selain dijadikan pemangkin untuk terus belajar dan menghasilkan karya berkualiti.

AMT2026

Aktres berusia 26 tahun itu selain membuktikan keikhlasan dan ketahanan mentalnya menempuh pelbagai cabaran dunia hiburan sejak awal pembabitan akhirnya membuahkan hasil yang manis. 

“Anugerah ini adalah motivasi untuk saya terus belajar dan melakukan yang terbaik demi memberi impak lebih besar dalam industri seni.

“Sejak memulakan langkah dalam lakonan sehingga hari ini, saya sudah melalui banyak cabaran, namun saya kuatkan mental dan terus melangkah ke hadapan.

Bila ikhlas dengan kerja sendiri, inilah hasilnya, namun dalam masa sama, trofi ini tidak mendefinisikan keseluruhan kerjaya saya,” katanya kepada HibGlam.

Menyentuh mengenai sokongan padu peminat yang sentiasa utuh di belakangnya, Anna menyifatkan keikhlasan dan hubungan baik sesama insan menjadi tunjang kekuatan untuk terus melangkah dalam industri seni tanah air.

“Kadang-kadang selalu tertanya-tanya mengapa peminat begitu menyayangi saya tetapi berasa sangat bersyukur dikurniakan kelab peminat yang sentiasa menyokong.

“Setiap hari mereka membuat suntingan video, menghantar mesej dan memuat naik hantaran mengenai saya di media sosial.

“Saya sentiasa cuba meluangkan masa berjumpa mereka di luar acara, membalas mesej serta berkongsi semula hantaran mereka semampu boleh.

“Bila kita menjaga hubungan yang baik dengan peminat, rakan kerja, pihak media dan syarikat produksi, insya-Allah rezeki akan dimurahkan,” tuturnya.

Berbicara lanjut mengenai kemenangan sebagai Selebriti Feminin Terhangat, bintang filem Lembayung itu mengakui faktor keselesaan menjadi keutamaan utama berbanding terikat dengan sesuatu aliran fesyen.

Sedar tanggungjawab sebagai orang popular, Anna kini dalam usaha mewujudkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO). AJ Care demi membela kebajikan haiwan terbiar.

Anna berkata, keselesaan sebagai aspek penting ketika memilih busana, lebih-lebih lagi apabila menghadiri acara rasmi yang memerlukan penampilan kemas dan elegan.

“Secara peribadi, saya tidak mempunyai satu gaya atau estetika khusus yang perlu diikuti. Saya akan pakai apa sahaja yang dirasakan selesa.

“Dalam masa sama, saya bersyukur mempunyai penata gaya yang banyak membantu memilih pakaian termasuklah untuk malam ini kerana bimbang tidak tahu apa yang mahu dipakai tanpa bantuan mereka.

Paling penting bagi saya, asalkan selesa selain nampak ringkas tetapi tetap elegan dan berkelas,” ujarnya.

AJ Care

Mengukuhkan lagi portfolionya, anak seni berbakat besar itu kini bersiap sedia untuk kembali ke set penggambaran di samping menantikan tayangan naskhah lakonannya di peringkat serantau.

Dia turut memberi bayangan bahawa beberapa projek terbaharu sedang dalam perancangan, sekali gus memperlihatkan komitmennya untuk terus aktif menghasilkan karya selepas meraih kejayaan pada AMT2026.

“Ada beberapa projek baharu yang sedang disusun dan saya akan memulakan penggambaran pada minggu depan. Buat masa sekarang masih rahsia, tetapi nanti semua orang pasti akan tahu.

“Selain itu, saya juga mempunyai sebuah filem yang belum ditayangkan di Indonesia. Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, naskhah tersebut bakal menemui penonton sama ada pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

“Namun buat masa ini, saya berada di Malaysia untuk menyelesaikan penggambaran sebuah drama tempatan,” jelasnya.

Tidak sekadar memberi tumpuan kepada dunia lakonan semata-mata, Anna turut berkongsi perancangan untuk menubuhkan sebuah platform kebajikan untuk haiwan terbiar.

Anna berharap usaha tersebut dapat membuka ruang kepada lebih ramai pihak untuk bersama-sama menjayakan aktiviti kebajikan, selain menggalakkan peminat menyumbang kepada perkara yang membawa kebaikan.

Satu lagi projek yang saya ingin kongsikan tidak lama lagi adalah mengenai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai AJ Care.

“NGO ini pada dasarnya ditubuhkan bagi membela kebajikan kucing dan haiwan jalanan.

“Jadi, apabila maklumatnya sudah lengkap kelak, saya akan kongsikan secara terperinci projek apa yang boleh kita gerakkan bersama para peminat serta rakan-rakan,” ujarnya.

Tambah aktres berdarah kacukan Melayu, Inggeris dan Portugis itu menegaskan platform serta pengaruh yang dimilikinya wajar dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memberi pembelaan kepada haiwan terbiar yang tidak bersuara.

Mendapat tempat istimewa di Indonesia, Anna tetap tidak melupakan sokongan peminat di tanah air sendiri iaitu Malaysia.

Baginya, isu kebajikan haiwan memerlukan perhatian berterusan kerana haiwan terbiar juga memerlukan perlindungan dan penjagaan yang sewajarnya.

“Sebenarnya pelan untuk menubuhkan NGO ini sudah lama dirancang, kira-kira dua atau tiga tahun lepas.

“Disebabkan saya memang pencinta haiwan yang kerap menyelamatkan kucing dan haiwan terbiar lain, saya rasa mereka juga perlukan suara untuk membela nasib mereka. Dengan platform yang saya ada sekarang, saya mahu buat sesuatu di luar kebiasaan.

Mungkin pada peringkat awal kita tidak tahu apa jangkaan orang ramai, tetapi dalam masa sama saya bersama pasukan dan peminat akan merangka pelan terbaik untuk melihat projek apa yang boleh dilaksanakan,” ujarnya lagi.

 

 

 

 



Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok