PU Riz, Nurul Izzah seru umat Islam bersatu pertahan Masjidil Aqsa

PENDAKWAH bebas, PU Riz menyeru umat Islam agar tidak meminggirkan nasib Masjidil Aqsa, sebaliknya terus bersatu hati dan mendoakan keamanan serta kebebasan tempat suci itu daripada penindasan.

PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail berkata, perjuangan mempertahankan Masjidil Aqsa bukan semata-mata berkisar soal politik, malah menjadi tanggungjawab keimanan yang menuntut sokongan berterusan umat Islam.

“Jika isu Masjidil Aqsa berlalu di hadapan kita tanpa sedikit pun rasa peduli, itu sesuatu yang membimbangkan. Jangan sesekali tinggalkan doa agar Masjidil Aqsa kembali aman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini bukan perjuangan yang sia-sia, sebaliknya satu amanah yang perlu terus kita pertahankan. Insya-Allah, akan tiba masanya Masjidil Aqsa kembali menikmati keamanan,” katanya.

Menurutnya, kedudukan Masjidil Aqsa cukup istimewa kerana merupakan kiblat pertama umat Islam serta berkait rapat dengan peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW.

Katanya, keistimewaan tempat suci itu turut ditegaskan menerusi firman Allah SWT dalam al-Quran yang menyebut keberkatan kawasan di sekitarnya.

“Barakah ini milik Allah SWT, bukan sesuatu yang dicipta oleh manusia. Allah sendiri menyebut keberkatan di sekitar Masjidil Aqsa dalam al-Quran.

Sebab itu, kita perlu memahami betapa besar kedudukan tempat suci ini dan mengapa nasibnya tidak boleh dipandang sebelah mata,” ujarnya.

Dalam pada itu, seruan tersebut senada dengan pendirian Pengasas dan Pengerusi Subuh Centre, Nurul Izzah Anwar yang menekankan kepentingan kesatuan umat Islam dalam mempertahankan Masjidil Aqsa.

Nurul Izzah turut menyeru umat Islam supaya bersatu hati berdepan pihak yang berusaha mengambil alih tempat suci berkenaan, tanpa membiarkan perbezaan pandangan menjadi penghalang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok