KENA dengan selera, bintang popular Korea Selatan, Lee Jun-ho mengakui terpikat dengan kepelbagaian sajian tempatan sepanjang berada di Malaysia, terutama nasi lemak dan roti tisu.
Ujar Junho, 36, dia teruja menikmati hidangan berkenaan, malah keunikan roti tisu dengan bentuknya menjulang tinggi memberikan pengalaman tersendiri buat pelakon dan penyanyi itu.
“Semalam, saya berpeluang mencuba nasi lemak dan roti tisu. Kedua-duanya sangat sedap. Saya tidak tahu mengapa roti tisu dinamakan sedemikian, tetapi perkara paling menarik perhatian saya ialah saiznya begitu besar dengan bentuk menjulang tinggi.
“Saya seronok mengoyakkan roti itu sedikit demi sedikit, bermula dari bahagian atas untuk menikmatinya. Pengalaman itu agak menarik kerana saya dapat mencubanya bersama pelbagai jenis sos dan perasa,” katanya kepada HibGlam.
Tambah anggota kumpulan 2PM itu, dia turut menikmati roti tisu bersama beberapa pilihan perasa, termasuk kari, coklat dan pistachio, selain kaymak, sejenis produk tenusu bertekstur berkrim.
“Saya memang suka pistachio, jadi saya mencuba roti itu dengan perisa tersebut.
“Saya turut menikmatinya bersama kaymark dan semuanya sangat sedap,” ujarnya pada sesi meet and greet Lee Jun-ho, CuckooTOPIA, semalam.
Bintang drama King The Land itu turut berkongsi keterujaan selepas membuat penampilan khas pada konsert CuckooTOPIA 2026 sempena ulang tahun ke-12 CUCKOO Malaysia di Stadium Merdeka, kelmarin.
Mengakui pengalaman tersebut cukup bermakna, Junho berkata, itu merupakan kali pertama dia menghadiri konsert sedemikian, sekali gus memberikan peluang untuk bertemu peminat secara langsung dalam suasana penuh kemeriahan.
“Sebenarnya, ini kali pertama saya menghadiri konsert CuckooTOPIA, jadi pengalaman itu sangat menggembirakan buat saya. Sudah tentu, saya juga sangat gembira kerana berpeluang bertemu semua peminat pada konsert tersebut.
“Jika diberikan peluang menghadiri konsert seperti ini lagi pada masa hadapan, saya pasti berbesar hati,” jelasnya.
Untuk rekod, pelantun lagu Nothing But You itu berada di Malaysia bagi memeriahkan festival CuckooTOPIA 2026.
Kehadirannya turut merangkumi acara CuckooTOPIA Pop-Up di Pavilion Bukit Jalil, berlangsung dari 22 hingga 25 Oktober.
Terdahulu, Junho dilantik sebagai Duta Jenama Global CUCKOO pada awal tahun ini, sekali gus mengukuhkan hubungannya dengan jenama berkenaan di peringkat antarabangsa. – HIBGLAM

