‘Selalu bersedih, saya pilih tidak kongsi kisah peribadi’

LUAHAN dalam Threads seperti sedang bersedih, penyanyi Zaki Yamani mengakui dirinya sememangnya seorang insan mudah dilanda kesedihan, namun memilih menyalurkannya menerusi karya berbanding membuka kisah peribadi kepada umum.

Ujar Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 20, sisi ceria serta peramah sering dilihat orang ramai tidak semestinya menggambarkan keadaan emosinya pada setiap masa.

“Sedih? Saya memang orang yang selalu bersedih. Sebab itu saya ‘cover’ dengan peramah dan ceria. Orang nampak kita ceria, tetapi selalunya kita melalui hari-hari dengan kesedihan sendiri.

“Saya keluarkan kesedihan itu menerusi lagu. Itu tanggungjawab sebagai seorang penyanyi. Kita tidak boleh terlalu mendedahkan kehidupan peribadi di media sosial, tetapi emosi dan cerita itu boleh disampaikan melalui lagu.

“Saya memang memilih untuk tidak kongsi perkara peribadi kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pada majlis apresiasi Pahang 1st kepada petugas kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang Tahun 2026, kelmarin.

Tambah pelantun lagu Akur itu, luahan mengenai kesedihan dalam media sosial ada kalanya dibuat sebagai sebahagian daripada kandungan berkaitan muzik, selain menjadi ruang kecil untuknya meluahkan perasaan tanpa mendedahkan terlalu banyak perkara peribadi.

“Kesedihan saya di media sosial kadang-kadang dibuat hanya untuk kandungan lagu. Tetapi ada masanya kita tidak tahu hendak berkongsi di mana dan perasaan itu memang betul tengah sedih.

“Apabila kita dikenali orang, kadang-kadang terpaksalah sedikit je meluah. Namun, saya akan pastikan sekadar sedikit sahaja dan tidak mendedahkan terlalu banyak perkara kepada orang ramai,” ujarnya.

Terdahulu, Zaki beberapa kali memuat naik luahan bernada sayu menerusi akaun Threads, termasuk hantaran berbentuk reda serta menerima segala kemungkinan dalam hidup.

Perkongsian tersebut mengundang tanda tanya dalam kalangan peminat apabila ada menyangka penyanyi terbabit sedang berdepan masalah tertentu, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keadaan emosinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok