TERBUKA berkongsi soal kelakian, pelakon Ikmal Amry mengakui dia mencapai akil baligh ketika berusia 17 tahun.
Perkara tersebut dikongsikan Ikmal atau nama lengkapnya Mohd. Zulikmal Amry Ghazali, 32, dalam audio siar Kita Kita Aje kendalian pengacara popular, Datuk Aznil Haji Nawawi.
“Saya akil baligh tingkatan lima. Umur saya 17 (tahun). Saya pernah jumpa doktor pasal perkara ini dan perkara itu normal.
“Ketika tingkatan empat, suara saya masih kecil. Saya berketinggian 160 sentimeter (sm). Seperti budak darjah enam.
“Ketika akhil baligh, ketinggian saya 165sm. Selepas itu ketinggian saya laju menaik. Baru suara pecah dan muka mula ada ‘shape’. Kalau tak muka saya bulat sahaja dulu,” katanya.
Terkejut mendengar pengakuan Ikmal, Aznil lantas bertanya apa mimpi yang dialami aktor itu sehingga tingkatan empat. Ikmal menjawab, dia tidak melalui pengalaman mimpi seperti remaja lelaki yang lain.
Aznil turut terkejut apabila Ikmal memberitahu umurnya ketika ini yang sudah berusia 32 tahun selain memaklumkan aktor yang bakatnya dicungkil melalui pertandingan Hero Remaja itu kelihatan seperti 21 tahun.
“Sekarang saya 32. Mungkin proses penuaan saya agak lambat. Saya anggap itu sebagai rezeki,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen yang turut berkongsi pengalaman mereka yang mengakui pernah melalui perkara yang sama.
“Okey saja. Abang saya akil baligh masa dia diploma. Mama terkejut ada orang telefon pakai nombor anak dia tetapi suara garau,” komen netizen.
Bagaimanapun, ada juga netizen yang menjelaskan bahawa jika lelaki sudah berusia 15 tahun, mereka sudah dikira akhil baligh biarpun suara belum berubah dan tidak mengalami mimpi basah. – HIBGLAM.

