Ini konsert terakhir saya bersama 6ixth Sense – Adi Priyo

“MUNGKIN ini konsert saya bersama 6ixth Sense yang terakhir sebelum hiatus.”

Demikian perkongsian vokalis kumpulan 6ixth Sense, Adi Priyo Sambodo yang meluahkan hasrat untuk meninggalkan kumpulan yang ditubuhkan sejak 2005 itu.

Menurut Adi, 43, keputusan tersebut dibuat memandangkan dia rancak membina kerjaya solo selain ingin memberi tumpuan kepada keluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya hiatus sebab nak fokus karier solo dan ada beberapa projek lain. Stamina pun sudah tidak seperti dulu untuk kekal bertenaga ketika buat persembahan berkumpulan di pentas.

“Jadual kerja yang padat, faktor kesihatan dan urusan keluarga seperti hantar anak ke sekolah turut diambil kira.

Sebelum ini saya sudah pernah menyuarakan hasrat untuk keluar daripada 6ixth Sense kepada anggota lain dan alhamdullillah mereka faham serta terima. Masing-masing hormati keputusan saya,” katanya kepada HibGlam pada sidang media Konsert 6ixth Sense: Tak Bisa Memilihmu, hari ini.

Tambah penyanyi asal Indonesia itu, dia akan tetap memberikan sokongan buat 6ixth Sense walaupun mereka bertemu pengganti tempatnya.

“Saya akan terus menyokong 6ixth Sense selepas ini, termasuk sekiranya menemui vokalis baharu.

Apapun, terpulang kepada rakan-rakan 6ixth Sense untuk buat keputusan mendapatkan khidmat vokalis baharu atau apa sahaja perancangan mereka nanti. Saya doakan yang terbaik dan maju jaya buat 6ixth Sense,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Adi memaklumkan dia tidak mahu terlibat dalam konsert itu tetapi tetap meneruskannya demi tidak menghampakan peminat.

“Saya memang tak nak terbabit dalam konsert ini pada mulanya.

Tetapi selepas dipujuk kawan-kawan, saya fikir ini adalah hadiah terakhir buat peminat 6ixth Sense sebelum saya ‘sign-off’ dengan mereka,” jelasnya.

6ixth Sense bakal mengadakan konsert mereka yang berjudul Konsert 6ixth Sense: Tak Bisa Memilihmu di Idea Live Arena, Damansara pada 23 Januari 2027.

Konsert tersebut bakal menjadi persembahan terakhir vokalis utamanya, Adi Priyo, bersama kumpulan berkenaan selepas lebih 20 tahun penglibatannya dalam industri muzik tempatan.

Penjualan tiket konsert akan mula dibuka pada 28 Oktober depan dengan harga tiket bermula RM99 sehingga Rm199. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok