Tiga tahun hilang, Yana kembali dengan Keliru

PENYANYI dan penulis lagu, Yana yang sebelum ini dikenali dengan nama pentas Shalma Eliana kembali ke arena muzik tempatan dengan single terbaharu berjudul Keliru.

Kepulangan ini menandakan permulaan lembaran baharu dalam kembara seninya sebagai artis indie selepas berehat daripada industri muzik selama tiga tahun demi melanjutkan pengajian di Middlesex University London, United Kingdom (UK).

Dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh Yana, Keliru menggabungkan elemen indie folk dengan penceritaan yang bersifat peribadi dan reflektif.

Memuatkan artikel berkaitan…

Karya terbabit juga meneroka ketidakpastian dalam memahami emosi, identiti dan hala tuju diri, khususnya ketika berhadapan dengan persoalan yang belum mempunyai jawapan.

Menurut Yana, lagu itu lahir daripada pengalamannya mendalami pemahaman terhadap diri sendiri, baik sebagai seorang artis mahupun sebagai individu.

“Bagi saya, perbezaan utama Keliru berbanding karya-karya saya sebelum ini terletak pada mesejnya. Lagu ini memberi tumpuan kepada emosi manusia yang jarang dibicarakan dalam proses memahami diri sendiri, termasuk perasaan ragu-ragu dan ketidakpastian yang kita lalui,” jelas Yana.

Keliru turut menjadi lagu pertama yang ditulis sepenuhnya oleh Yana dalam bahasa Melayu, selain single pertamanya sebagai artis indie.

Menerusi lagu ini, Yana berharap pendengar dapat menemukan ruang untuk berasa difahami dan selesa menerima pelbagai sisi kehidupan, sama ada baik mahupun buruk tanpa rasa takut untuk dihakimi.

“Bagi saya, Keliru bukan tentang berputus asa apabila fikiran terasa begitu berat tetapi tentang mengakui perasaan itu sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup.

“Saya berharap lagu ini dapat membuatkan pendengar rasa dilihat, didengari dan tidak keseorangan dalam menghadapi ketidakpastian mereka. Kita tidak semestinya perlu mempunyai semua jawapan untuk terus melangkah ke hadapan,” ujarnya.

Ruang Rasa

Keliru juga hadir dengan sebuah video muzik yang menandakan satu pencapaian penting dalam perkembangan Yana sebagai penggiat seni yang bergerak sendiri. Diarahkan Amani Azlin dengan Yana menerajui hala tuju kreatifnya sendiri, projek itu mencerminkan keberaniannya untuk merealisasikan visi artistik yang dipercayainya.

SELEPAS muncul dengan single Keliru, Yana bakal menghasilkan album berjudul Ruang Rasa yang memuatkan rangkaian lagu mengupas penerokaan emosi.

“Proses penghasilan video muzik ini merupakan satu pengalaman yang ‘bittersweet’ buat saya. Pada awalnya, saya banyak berfikir dalam membuat keputusan, terutamanya dalam mencari cara untuk merealisasikan visi artistik saya dengan sumber dan bajet yang ada tanpa berkompromi dari segi kreativiti.

“Saya mempertimbangkan pelbagai konsep sebelum akhirnya memberanikan diri untuk merealisasikan visi yang benar-benar ingin saya sampaikan melalui lagu dan video muzik ini.

“Projek ini menjadi bukti bahawa saya percaya pada karya dan visi saya sendiri. Saya memilih untuk melabur dalam sesuatu yang saya percayai tanpa terlalu memikirkan pendapat atau persepsi orang lain. Bagi saya, sebelum orang lain percayakan saya, saya perlu percaya pada diri sendiri terlebih dahulu.

“Dengan bantuan dan kolaborasi rakan-rakan kreatif yang lain, proses ini akhirnya menjadi lebih lancar. Menyiapkan projek ini benar-benar mengubah cara saya melihat karya saya dan diri saya sebagai seorang artis,” kata Yana.

Selepas Keliru, Yana kini rancak mengusahakan album sulungnya, Ruang Rasa yang bakal mengembangkan dunia emosi yang diperkenalkan menerusi single tersebut, dengan meneroka pelbagai pengalaman manusia termasuk keraguan terhadap diri sendiri, ketidakpastian dalam percintaan, rasa syukur dan penerimaan.

“Melalui Ruang Rasa, saya ingin meneroka pelbagai emosi dan pengalaman yang membentuk diri kita sebagai manusia, termasuk perasaan yang sukar difahami atau diluahkan. Saya berharap album ini dapat menjadi ruang untuk pendengar mengenali dan menerima perasaan mereka sendiri.

“Saya berharap dapat menyiapkan album ini tahun hadapan dan jika semuanya berjalan lancar, akan mengadakan showcase indie pertama saya dengan judul Ruang Rasa,” katanya.

Diinspirasikan oleh alam semula jadi dan tingkah laku manusia, karya-karya Yana bagi fasa baharu ini menggabungkan pemerhatian terhadap kehidupan dengan penerokaan emosi. Menerusi muziknya, dia ingin mewujudkan ruang yang menghubungkan pengalaman peribadi dengan pengalaman pendengar tanpa mengira latar belakang atau perjalanan hidup mereka. – HIGBLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok