Hati saya bukan boleh ditukar sekelip mata – Kamal Adli

MENDUDA, dari satu bahagian kehidupan bermakna tiada lagi suri cinta di sisi, namun sebahagian daripada semua ujian mendatang, tuah seakan-akan semakin menyebelahi pelakon Kamal Adli itu, Namanya menjadi sebutan, malah tawaran kerja datang silih berganti sehingga jadual seninya semakin padat.

Bukan sahaja laris sebagai bintang drama dan filem, pemilik nama penuh Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, turut mendapat kepercayaan mengemudi program hiburan popular, Melodi selain menjadi pilihan pelbagai jenama untuk kempen komersial.

Siapa sangka, di sebalik taufan yang membadai kehidupan peribadinya, terselit pelangi yang tidak disangka. Biarpun rumah tangganya bersama pelakon Uqasha Senrose kecundang di tengah jalan pada Januari lalu, Kamal harus setidak-tidak reda dan bersyukur atas rezeki yang hadir, sedikit sebanyak pengubat lara hatinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menganggap segala yang berlaku punya hikmah tersendiri, bapa kepada seorang cahaya mata itu percaya rezeki yang semakin mencurah mungkin juga hadir bersama keberkatan anak kesayangannya, Hawra Uqaira, 2.

Saya anggap semua ini rezeki, mungkin rezeki yang datang melalui anak saya, Hawra. Sebelum ini saya memang tidak pernah berhenti bekerja, cuma sekarang peluang semakin terbuka termasuk dalam pengacaraan dan kempen komersial.

“Mungkin ada yang baru nampak saya sekarang, tetapi sebenarnya saya sudah lama aktif berlakon drama dan filem. Saya sangat bersyukur dengan setiap peluang yang diberikan,” katanya kepada HibGlam.

Antara pencapaian yang cukup bermakna buat Kamal tahun ini adalah diberi kepercayaan menjadi hos program hiburan ikonik TV3, Melodi sejak Julai lalu. Digandingkan dengan Ain Edruce, keletah bersahaja kedua-duanya berjaya memberikan warna baharu kepada rancangan yang sudah lebih tiga dekad bersiaran itu.

Sudah sekitar tiga bulan saya bersama Melodi dan setakat ini memang seronok. Program itu sangat dekat dengan jiwa saya. Dengan Ain pun serasi, masing-masing tahu bila masa hendak bergurau dan perlu serius. Kalau ada kekurangan, kami cuba perbaiki,” katanya.

TIDAK malu mengakui sering kali berasa sunyi, Kamal bagaimanapun masih tidak terfikir untuk mencari cinta baharu. Fokusnya adalah kerja dan membahagiakan anaknya, Hawra.

Keserasian mereka turut membawa kepada satu lagi pencapaian apabila Kamal dan Ain diberikan tanggungjawab mengendalikan Anugerah Melodi Terhangat 2026 pada 18 Oktober lalu. Peluang mengemudi acara anugerah berskala besar itu disifatkan sebagai pengalaman berharga, sekali gus membuktikan kemampuannya tidak hanya terbatas dalam bidang lakonan.

Saya membesar dengan Melodi, dahulu hanya sebagai penonton, selepas itu menjadi ‘bahan’ cerita selepas menjadi artis, sekarang saya pula mengacara program ini. Memang tidak sangka, tetapi saya sangat enjoy sebagai pengacara Melodi,” tuturnya.

‘Ketua Threads’

Selain semakin mendapat tempat menghiasi program televisyen, Kamal turut mencuri perhatian dalam media sosial khususnya platform Threads sehingga mendapat jolokan ‘Ketua Threads’ dalam kalangan netizen.

Bukan sekadar menghiburkan dengan hantaran spontan dan lucu, pandangannya mengenai isu semasa dan kemasyarakatan mudah ‘ditangkap’ umum.

“Saya perasan, sekarang apa yang saya tulis, orang akan dengar. Tetapi saya bukan hendak memburukkan orang. Kalau ada isu kemasyarakatan yang boleh kita bincang, kita bincang.

Kalau ada orang berniaga dan kita boleh bantu sokong, kenapa tidak? Saya lebih suka gunakan platform itu untuk perkara positif,” katanya.

Dikenali sebagai individu yang gemar berjenaka dan bersikap spontan, Kamal mengakui, cukup berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu pandangan.

Adakalanya hantaran yang sudah ditaip, dipadam semula kerana bimbang mengundang salah faham atau menyinggung pihak tertentu.

Kadang-kadang saya sudah tulis, kemudian padam sebab takut ada orang terasa. Kalau ada isu yang orang tengah marah, kita boleh sokong tetapi kena guna logik. Bukan main bedal atau maki sesuka hati. Saya bukan hendak cari gaduh dengan sesiapa,” jelasnya.

Atas sebab itu, Kamal seboleh-bolehnya mengelakkan perdebatan politik atau isu yang menjurus kepada penghinaan individu. Baginya, kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab, lebih-lebih lagi apabila setiap perkataan yang ditulis berpotensi mempengaruhi orang lain.

Saya pun ada anak. Jadi, kena fikir juga apa yang kita cakap. Kalau ada isu yang boleh dibincangkan secara baik, tidak salah untuk kongsi pandangan. Saya tulis bukan hendak popular, tetapi ini platform untuk bersuara bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga orang ramai. Ibarat borak kedai kopi tapi secara online,” ujarnya.

KAMAL kini dilimpahi tawaran kerja. Selain ada drama bersiri menghiasi televisyen berjudul PL, I Love You, dia juga bakal hadir dengan sebuah filem, Takluk 2: Ops Daulat menjelang 26 November nanti.

Sunyi

Di sebalik kepanasan mendadak dan kesibukan kerja, Kamal tidak menafikan kehidupan peribadinya masih melalui fasa penyesuaian selepas kegagalan perkahwinan.

Mengakui tidak mudah menjalani kehidupan sendirian, dia cuba menerima segala perubahan dengan hati terbuka.

Dari segi emosi memang ada kesannya. Kadang-kadang apabila balik kerja, kita rasa kosong sebab duduk seorang. Biasanya saya balik rumah, tidur atau tengok filem. Begitulah rutin saya,” luahnya.

Kesibukan kerja bagaimana membantu Kamal mengatasi perasaan sunyi. Jadual penggambaran yang padat dan komitmen pengacaraan menyebabkan sebahagian besar masanya dihabiskan di lokasi kerja, sekali gus dia tidak terlalu memikirkan kekosongan apabila bersendirian.

“Sekarang memang banyak kerja, jadi tidaklah terlalu terasa sangat. Kalau ada masa lapang pun saya bukannya jenis suka keluar melepak.

Jika tidak, ada saja masa terluang, saya akan habiskan masa bersama Hawra. Sekarang ini saya memang tengah ligat bekerja dan fokus saya adalah membahagiakan Hawra sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan hati terbuka kepada wanita lain, Kamal bertegas belum terfikir untuk mencari pengganti dalam masa terdekat.

Pengalaman bercerai bukan sesuatu yang boleh dilupakan dalam sekelip mata, apatah lagi apabila banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum memulakan hubungan baharu.

“Jika sewaktu bercinta dan putus cinta pengalamannya berbeza. Tetapi apabila berkahwin dan memiliki anak kemudian bercerai itu satu perkara yang sangat berbeza. Emosi, hati saya sendiri dan banyak perkara lain bukan boleh ditukar sekelip mata.

Buat masa sekarang memang saya tidak fikir lagi tentang cinta. Terlalu awal untuk mencari pengganti kerana banyak perkara yang perlu difikirkan.

“Kalau suatu hari nanti ada jodoh, saya mahukan hubungan yang tenang dan masing-masing boleh memahami. Tetapi sekarang saya tidak mahu fikir tentang itu. Apa yang penting ialah anak dan kerjaya,” tegasnya.

Bercakap tentang perkembangan semasa, Kamal kini muncul dengan naskhah romantik PL, I Love You arahan Michael Ang yang kini bersiaran menerusi Astro Ria.

Kamal membawakan watak Adam, seorang pemilik bengkel kereta dan penyokong tegar Chelsea yang bercinta dengan Lily lakonan Intan Serah, peminat fanatik Arsenal. Perbezaan kesetiaan terhadap kelab bola sepak mencetuskan konflik sebelum Adam mengalami hilang ingatan atau amnesia.

Bercerita mengenai gandingannya bersama Intan yang pertama kali memikul tanggungjawab sebagai heroin drama, Kamal memuji komitmen dan kesungguhan bekas pemain futsal negara itu.

Seronok bekerja dengan Intan. Walaupun ini pertama kali dia betul-betul berlakon sebagai watak utama, dia berbakat dan faham apa yang perlu dilakukan. Tidak ada masalah untuk kami bekerja bersama,” ujarnya.

Lebih menarik, pengalaman menjalani penggambaran selama sebulan di London, England turut memberikan kenangan manis kepada Kamal biarpun terpaksa berdepan cuaca sejuk sekitar 10 hingga 16 darjah Celsius.

Mengambil kesempatan berada di negara tersebut, Kamal yang merupakan peminat tegar Manchester United itu sanggup pergi ke Manchester seorang diri untuk menyaksikan dua perlawanan pasukan kesayangannya.

Dalam drama saya kena jadi penyokong Chelsea, tetapi sebenarnya saya peminat Manchester United. Jadi, apabila dapat penggambaran di sana, saya ambil peluang pergi tengok bola. Dapat tengok dua perlawanan pun sudah cukup seronok,” katanya sambil ketawa.

Terbaharu, Kamal kini sibuk menjalani penggambaran drama 40 episod berjudul Cinta Kau dan Aku, karya Siti Rosmizah untuk Astro yang dijangka berlanjutan sehingga Januari tahun depan, selain turut mempunyai beberapa projek filem termasuk Takluk 2: Ops Daulat yang akan ditayangkan pada 26 November ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok