‘Jangan pukul rata, ramai sahaja pelakon lama bermasalah’

MENONTON lakonan Rusdi Ramli ibarat menyaksikan seorang anak seni mempertaruhkan seluruh jiwa demi menghidupkan watak.

Setiap dialog, gerak tubuh dan riak wajah bukan sekadar pelengkap adegan, sebaliknya cerminan kesungguhan seorang pelakon memahami denyut nadi karakter, lalu menghidangkannya kepada penonton dengan penuh penghayatan.

Hampir empat dekad berkecimpung dalam dunia seni, Rusdi sudah menyaksikan pelbagai perubahan landskap drama tempatan sekali gus mengubah cara seseorang pelakon membina nama dan mempertahankan kedudukannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi pelakon berpengalaman itu, tiada formula rahsia untuk bertahan lama. Disiplin, kecintaan terhadap pekerjaan dan kesediaan untuk terus belajar menjadi pegangan utamanya.

“Saya percaya kita kena jaga kerja dan jangan terlalu mengejar populariti. Biarlah populariti itu datang sendiri. Itulah prinsip saya sejak awal menceburi bidang ini kerana kemasyhuran tidak semestinya berkekalan.

Sekarang mungkin populariti saya sudah tidak sehebat dahulu, tetapi orang masih ingat hasil kerja abang. Jadi, apa-apa pun keadaan kita, perkara paling penting adalah menjaga mutu kerja.

“Kalau terlalu mengharapkan perkara lain selain kerja sendiri, arah perjalanan kita boleh berubah. Sebaliknya, kalau menghargai pekerjaan, mencintai apa-apa yang dilakukan dan sentiasa belajar, insya-Allah, kita akan baik-baik sahaja,” katanya eksklusif kepada HibGlam.

PERCAYA bakat yang berkualiti akan kekal relevan lama industri, Rushdi bagaimanapun enggan terlalu tunduk dengan tekanan teknologi seperti TikTok meskipun itu menjadi antara tuntutan anak seni zaman sekarang.

Penting ‘senioriti’

Berbekalkan pengalaman panjang dalam industri, penulis mengajukan soalan mengenai sikap segelintir pelakon baharu didakwa mula meletakkan permintaan tinggi, termasuk soal bayaran selepas membintangi drama popular.

Namun, persoalan mengenai perbezaan sikap antara pelakon lama dengan generasi baharu bukan sesuatu yang dipersetujui lelaki berusia 56 tahun itu untuk dijadikan perbandingan mutlak.

Baginya, sikap profesional tidak ditentukan oleh tempoh seseorang berada dalam industri, sebaliknya bergantung pada keperibadian dan cara individu menghormati pekerjaan.

“Sejujurnya, saya tidak suka apabila timbul perbincangan mengenai orang lama dengan orang baharu, seolah-olah pelakon lama semuanya bagus dan pelakon baharu pula tidak bagus.

Perkara itu bergantung pada individu, bukannya berapa lama seseorang berada dalam industri. Ada sahaja orang lama dengan sikap kurang menyenangkan, dan ramai juga pelakon baharu mempunyai disiplin, menjaga kerja dan menghormati orang lain.

“Zaman saya dahulu pun ada individu datang lewat ke lokasi penggambaran dan membawa perangai kurang profesional, malah perkara itu masih berlaku sehingga hari ini. Jadi, janganlah kita pukul rata semua orang berdasarkan usia atau pengalaman,” ujarnya.

Tambah anak kepada seniwati Norlia Ghani itu, kecenderungan melaga-lagakan aktor lama dengan pelakon baharu boleh memberikan kesan terhadap suasana kerja, terutama ketika seluruh tenaga produksi perlu saling bergantung untuk menjayakan sesebuah naskhah.

“Janganlah kita melaga-lagakan pelakon lama dengan baharu kerana perkara itu tidak sihat. Orang luar mungkin tidak nampak kesannya, tetapi apabila kami berada di tempat kerja, pandangan sinis, kata-mengata di belakang dan prasangka boleh berlaku.

Sedangkan kami bekerja secara berpasukan. Kalau masing-masing sudah mula memandang serong antara satu sama lain, bagaimana hendak menghasilkan kerja dengan baik?

“Tidak boleh menghukum semua berdasarkan kesalahan individu. Dalam penjara pun, setiap orang mempunyai kesalahan masing-masing.

“Tidak adil untuk menyamakan semua banduan hanya kerana mereka berada di tempat sama. Begitu juga dalam industri seni,” jelasnya.

RUSDI percaya setiap anak seni mempunyai pendekatan tersendiri untuk mencari rezeki dan mengekalkan hubungan dengan peminat.


Media sosial

Mengalihkan soalan ke perihal media sosial, penulis sengaja bertanya mengapa aktor itu tidak lagi aktif dalam media sosial yang dahulunya pernah rancak seketika.

Tenang menjawab, Rusdi berkata, lambakan kandungan negatif membuatkannya lebih berhati-hati ketika meluangkan masa di platform berkenaan.

Terlalu banyak melihat kandungan negatif, kadangkala perkara itu boleh menaikkan darah dan mengganggu emosi. Kita memerlukan perkara positif untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

“Apabila terlalu banyak perkara negatif memenuhi fikiran, lama-kelamaan jiwa juga boleh terjejas. Pada saya, ada perkara boleh dikongsi dan tidak.

“Malangnya, berkongsi hampir segala-galanya seolah-olah sudah menjadi budaya sekarang,” tuturnya.

Ditanya tanggapan bahawa artis lama yang kerap melakukan siaran langsung dalam media sosial demi mengemis ‘gift’, Rusdi enggan menjatuhkan hukum terhadap pilihan rakan.

Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 itu percaya setiap individu mempunyai pendekatan tersendiri untuk mencari rezeki dan mengekalkan hubungan dengan peminat.

“Saya tidak pernah berasa malu dengan cara orang lain mencari rezeki.

Masing-masing ada usaha dan pendekatan sendiri. Emak saya pun aktif dalam media sosial. Saya tidak pernah mengganggu urusannya dan dia juga tidak mengganggu saya.

“Janganlah kita terlalu sibuk dengan kehidupan orang lain. Hal sendiri pun belum tentu selesai, jadi lebih baik kita memberikan perhatian kepada kehidupan masing-masing.

“Kalau seseorang tidak mengganggu kita, kita pun tidak perlu mengganggu dia. Setiap orang ada cara tersendiri untuk menjalani kehidupan, jadi hormatilah pilihan masing-masing,” tegasnya.

Menyentuh soal budaya kecaman dalam media sosial, Rusdi menegaskan dirinya tidak pernah berasa takut untuk berdepan dengan netizen, namun bimbang sikap negatif mudah merebak apabila seseorang membiarkan dirinya terikut-ikut dengan suasana permusuhan di alam maya.

“Saya tidak pernah takut dengan netizen kerana tidak melakukan perkara bukan-bukan. Kalau kita tidak buat sesuatu yang salah, kita tidak perlu terlalu takut dengan pandangan orang.

Cuma, perkara negatif ini boleh berjangkit. Macam kesan domino, apabila seorang mula bercakap buruk, orang lain pula masuk campur sehingga isu itu semakin membesar. Akhirnya, suasana menjadi tidak sihat.

“Setiap orang berhak menjalani kehidupan sendiri. Kalau dia tidak mengganggu kita, kita pun tidak perlu mencari pasal dengannya. Jangan sampai terlalu ghairah mengulas kehidupan orang lain hingga kita sendiri terlupa batas dan tanggungjawab,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok