SELEPAS dua tahun menyepi daripada sebarang karya, penyanyi Black Hanifah akhirnya muncul dengan sebuah single terkini berjudul Terlerai Sudah.
Menurut Black atau nama sebenarnya, Hanifah Muhammad Hanafiah, 39, tempoh agak lama diambil tampil dengan karya baharu kerana mencari material terbaik selepas kejayaan single terdahulu, Hijab Rindu.
“Saya agak tertekan untuk keluar dengan lagu baharu kerana single sebelum ini Hijab Rindu menjadi sebuah lagu viral yang diminati ramai.
“Cuma sebagai penyanyi apabila sesebuah lagu mendapat sambutan yang luar biasa, kita tidak boleh terlalu selesa dan mengharapkan lagu seterusnya akan mengulangi perkara sama. Setiap lagu mempunyai cerita dan perjalanan masing-masing.
Jadi, untuk Terlerai Sudah, saya cuba fokus kepada lagu ini dan memberikan yang terbaik tanpa terlalu memikirkan tentang perbandingan dengan lagu sebelum ini.
“Kalau pendengar boleh menerima dan menghayati lagu ini, itu sudah menjadi satu kejayaan buat saya,” ujarnya pada majlis sidang media pelancaran lagu Terlerai Sudah, baru baru ini.
Terlerai Sudah terbitan Nova Music Malaysia yang menghimpunkan sentuhan Ba Ermy, Mas Dewangga dan Jova Devito, turut menampilkan Datuk Arisz Ab Rahman JP dalam penulisan lirik mengangkat kisah hubungan yang berakhir meskipun masih ada perasaan sayang.
Lagu ini sangat dekat dengan emosi dan pengalaman manusia, sebab saya percaya ramai yang pernah melalui situasi terpaksa merelakan seseorang pergi demi kebaikan masing-masing,” katanya.

BLACK bersama Pengarah Urusan Nova Music semasa pelancaran single baharunya, Terlerai Sudah, di ibu negara baru-baru ini.
Dalam pada itu, Black turut menepis tanggapan mahu menunjuk kekayaan apabila menampilkan kapal layar miliknya dalam muzik video (MV) lagu terbaharu, Terlerai Sudah.
Sebaliknya, Black menjelaskan, dia mahu penonton menikmati keindahan Langkawi, Kedah, selain mengambil peluang memperkenalkan perniagaan yang diusahakannya di pulau peranginan tersebut.
Semua artis kaya
Baginya, kedudukan sebagai selebriti membuka ruang untuk memperluaskan promosi perniagaan, justeru peluang menerusi platform sedia ada wajar dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Jika saya tidak gunakan platform ini, apa gunanya saya jadi selebriti kalau tidak promosikan bisnes di Langkawi?
Ini adalah sumber lain untuk saya memperkenalkan Langkawi. Saya bukan hendak tunjuk kaya tetapi lebih kepada memberi motivasi dan mempromosikan perniagaan,” katanya yang memiliki vila untuk penginapan di Pulau Langkawi.
Black turut menjawab persoalan ramai tentang penggunaan platform media sosialnya yang dikatakan sengaja mempamerkan kemewahan.
“Kalau nak kata saya guna media sosial untuk tunjuk kaya, rasanya semua artis pun kaya.
Bezanya, bagaimana setiap orang gunakan media sosial untuk mempromosikan bisnes dan jenama masing-masing,” tuturnya.
Mengenai peluang ke Anugerah Juara Lagu (AJL), Black tidak menyembunyikan impian membawa single baharunya ke pentas berprestij berkenaan, namun mahu mendahulukan penerimaan pendengar. Baginya, peluang bertanding akan disambut sebaik mungkin sekiranya ada rezeki.
Terlerai Sudah dilancarkan menerusi laman penstriman digital pada 16 Oktober lalu, manakala MV sudah boleh ditonton menerusi YouTube Nova Music Videos. – HIBGLAM

