MENGHAMPIRI ke penghujung tahun, pasti ramai pasangan yang bakal mengakhiri zaman bujang mereka dengan melangkah ke alam perkahwinan.
Tidak kira bagaimana majlis yang bakal dianjurkan, namun lagu kahwin turut memainkan peranan penting dalam sesebuah majlis perkahwinan.
Lagu bertemakan perkahwinan mampu membangkitkan ‘mood’ dan menjadi penyeri untuk sesebuah majlis.
Minggu ini HibGlam menyenaraikan lima lagu bertemakan perkahwinan yang malar segar dari dulu hingga kini.
Direnjis-renjis – Tan Sri P. Ramlee
Sebuah lagi lagu klasik ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan lirik oleh S. Sudarmaji. Lagu Direnjis-renjis dinyanyikan sendiri oleh P. Ramlee dan dijadikan runut bunyi di dalam filem Takdir Ilahi.
Lagu berkenaan menampilkan adat orang Melayu yang melakukan upacara merenjis air mawar kepada pasangan pengantin yang duduk bersanding di atas pelamin.
Lagu itu kemudian dirakam semula oleh penyanyi R Ismail dan sering diputarkan pada majlis-majlis perkahwinan dari dahulu hingga kini. Direnjis renjis, selamat pengantin baru, bunga rampai, kompang dipalu
Selamat Pengantin Baru – Puan Sri Saloma

Lagu klasik ciptaan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee nyanyian Biduanita Negara Puan Sri Saloma, Selamat Pengantin Baru sememangnya mengimbau kenangan majlis perkahwinan zaman ibu ayah kita. Lagu itulah yang paling kerap dimainkan pada majlis-majlis kahwin tidak kiralah di mana jua.
Lagu Selamat Pengantin Baru merupakan lagu runut bunyi dalam filem Madu Tiga yang diterbitkan pada1994.
Lagu berkenaan turut dirakam semula oleh penyanyi Wann pada tahun 1990-an. Menariknya, bukan sahaja di Malaysia, lagu ini juga sering dimainkan di majlis perkahwin di rantau Asia Tenggara termasuk Indonesia, Brunei dan Singapura.
Selamat Pengantin Baru – Anita Sarawak

Antara lagu perkahwinan paling popular yang sering diputarkan di majlis-majlis perkahwinan.
Selamat Pengantin Baru dicipta oleh komposer terkenal iaitu S Atan dan lirik oleh Kamali Hudi.
Lagu nyanyian diva Anita Sarawak ini menjadi lagu wajib untuk diputarkan di majlis-majlis perkahwinan terutama pada era 1990-an.
Suara Anita yang ‘catchy’ serta lirik yang menceritakan tentang gelagat pengantin di atas pelamin membuatkan lagu ini begitu dekat dengan pasangan raja sehari.
Bunga Rampai – Zaleha Hamid

Lagu Bunga Rampai nyanyian penyanyi dangdut terkenal, Zaleha Hamid antara lagu perkahwinan yang mengangkat bunyi dan budaya Melayu.
Lagu ini dimulakan dengan bunyi paluan kompang sekaligus menaikkan semangat dan keterujaan tentang majlis perkahwinan.
Bunga Rampai adalah simbol sesebuah majlis perkahwinan zaman dahulu. Menggunakan daun pandan yang diracik halus. Dicampur dengan kelopak bunga dan air mawar.
Kompang Dipalu – Waheeda & Izam EYE

Kompang Dipalu merupakan lagu bertemakan perkahwinan yang sangat popular dalam kalangan pengantin alaf baru.
Dicipta oleh Amy Ukays, lagu nyanyian Waheeda dan Izam EYE ini merupakan runut bunyi untuk filem Kuliah Cinta pada 2004.
Dek populariti lagu berkenaan dalam filem tersebut dan sering kali digunakan dalam karya terbitan Metrowelath, lagu Kompang Dipalu menjadi pilihan kebanyakan pasangan pengantin dan khalayak di Malaysia. – HIBGLAM

