Sempurna, filem Hunger Games paling menyesakkan

SELEPAS kejayaan francais The Hunger Games mencetuskan fenomena global, dunia Panem sekali lagi menjadi medan pertarungan hidup dan mati menerusi naskhah terbaharu, The Hunger Games: Sunrise on the Reaping.

Namun, kali ini penonton tidak lagi mengikuti perjuangan Katniss Everdeen, sebaliknya dibawa menyelami kisah silam Haymitch Abernathy, figura yang cukup dikenali menerusi karakter sinis, bermulut lancang dan alkoholik.

Berlatarbelakangkan 24 tahun sebelum kemunculan Katniss, filem ini mengangkat kisah Hunger Games ke-50 atau Second Quarter Quell yang menyaksikan seramai 48 peserta dipilih untuk bertarung sesama sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sinergi lakonan antara Joseph Zada sebagai Haymitch dan Whitney Peak (Lenore Dove) sangat mengesankan dalam Sunrise on the Reaping.

Diarahkan Francis Lawrence, Sunrise on the Reaping bukan sekadar menghidangkan satu lagi kisah pertandingan maut, sebaliknya cuba merungkai sisi gelap seorang remaja yang akhirnya dibentuk kekejaman sistem pemerintahan Capitol.

Menerusi watak Haymitch lakonan Joseph Zada, penonton diperkenalkan kepada seorang pemuda yang masih mempunyai harapan, prinsip dan keinginan untuk melindungi insan tersayang. 

Namun, segala-galanya berubah apabila dia dipaksa memasuki arena yang menjadikan kematian sebagai hiburan.

Joseph terbaik

Harus diakui, Joseph berjaya menggalas tanggungjawab besar menghidupkan karakter ikonik berkenaan. Tidak mudah untuk membawa watak yang sudah sebati dengan interpretasi Woody Harrelson, namun Joseph memilih pendekatan tersendiri dengan menampilkan Haymitch yang lebih muda, emosional dan belum kehilangan kepercayaan terhadap manusia.

Hubungan Haymitch dengan Lenore Dove Baird (Whitney Peak) turut menjadi elemen penting dalam penceritaan. Walaupun diselitkan sebagai sisi romantik, hubungan tersebut mempunyai fungsi lebih besar apabila menjadi antara sebab Haymitch enggan menyerah kalah terhadap kekejaman Capitol.

Tidak kurang menarik adalah kemunculan Mckenna Grace sebagai Maysilee Donner. Karakter tersebut bukan sekadar pelengkap kepada barisan peserta, sebaliknya mempunyai keberanian dan pendirian tersendiri. Mckenna juga berjaya memberikan persembahan meyakinkan menerusi watak yang sarat dengan emosi dan konflik.

Casting, terjemahan karakter

Kehadiran nama besar seperti Ralph Fiennes, Glenn Close, Jesse Plemons, Kieran Culkin dan Elle Fanning turut mengukuhkan naskhah ini. Setiap pelakon membawa karakter berbeza yang mencerminkan keangkuhan, kerakusan dan manipulasi golongan elit Capitol.

Dari sudut teknikal, Francis Lawrence sekali lagi memperlihatkan keupayaannya membina dunia distopia yang meyakinkan. Perbezaan kehidupan masyarakat Daerah 12 dengan kemewahan Capitol diterjemahkan menerusi reka bentuk produksi, kostum dan sinematografi yang cukup terperinci.

Watak Effie versi muda dijayakan dengan cemerlang oleh Elle Fanning. 

Antara kekuatan utama filem ini ialah reka bentuk arena pertandingan yang sarat dengan kejutan. Di sebalik keindahan landskap yang dipaparkan, tersimpan pelbagai ancaman yang mampu meragut nyawa peserta pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, penggunaan kesan visual janaan komputer (CGI) dalam beberapa babak kelihatan kurang meyakinkan. Ada ketika elemen tersebut terlalu ketara sehingga mengganggu realisme adegan yang sepatutnya mencetuskan rasa cemas dalam kalangan penonton.

Dengan durasi sekitar 158 minit, filem ini menuntut kesabaran penonton untuk mengikuti keseluruhan perjalanan cerita. Bahagian awal yang memperkenalkan latar kehidupan Haymitch bergerak agak perlahan sebelum konflik utama benar-benar mengambil tempat.

Namun, kekuatan Sunrise on the Reaping bukan hanya terletak pada aksi dan keganasan di arena. Filem ini turut mengangkat persoalan tentang penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan sosial serta bagaimana golongan pemerintah sanggup memperalatkan nyawa manusia demi kepentingan sendiri.

Penulis secara peribadi berani menyifatkan filem ini antara instalmen mengesankan dari segi permainan emosi, terjemahan dari novel ke layar perak dan ‘casting’ paling sempurna. 

Enam sudah divisualkan, Sunrise on the Reaping penulis letakkan di antara ranking teratas kerana semua alasan perenggan atas. Lagi kukuh di tangga atas kalau ia dibahagikan dua bahagian.

The Hunger Games: Sunrise on the Reaping

Pengarah: Francis Lawrence
Pelakon: Joseph Zada, Whitney Peak, Mckenna Grace, Elle Fanning, Ralph Fiennes
Durasi: 2 jam 38 minit
Tayangan:  19 November 2026
Bintang: ⭐⭐⭐⭐ (4/5)



Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok