‘Saya rasa tercabar, nak berhenti’ – Alif Satar lelah buat baik?

NAMPAK kental, penyanyi juga pengacara Alif Satar mengakui hatinya pernah berbolak-balik bahkan terlintas untuk menghentikan usaha melakukan kebaikan selepas terkesan dengan komen negatif serta tanggapan negatif segelintir individu terhadapanya dalam media sosial.

Namun, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 36, berkata semua yang dibayanhkan itu berubah selepas bertemu dengan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir baru-baru ini sekali gus mendapat kekuatan baharu apabila dilanda dengan ujian sebegitu.

“Semalam saya berkesempatan berjumpa dengan Datuk Mufti Selangor dan terpanggil untuk membuat satu perkongsian dengan kalian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadang-kadang saya sendiri ada hari yang kuat, ada hari lemah semangat sedikit, jadi apabila ada orang yang berilmu, kita minta pendapat dan pandangan mereka,” katanya dalam sebuah video.

Dia juga tidak menafikan pandangan negatif orang ramai adakalanya menguji emosinya terutama berkaitan dengan perkara atai kebaikan yang dilakukan sebelum ini.

“Banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya dan kadang-kadang kita terbaca komen orang.

“Walaupun sembilan daripada 10 kali tidak memberi kesan apa-apa, tetapi kali ini ada perkara yang membuatkan saya berasa tercabar,” katanya lagi.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu turut mendedahkan perasaan kecewa akibat niat baik sering disalahertikan pernah membuatkan dirinya mempertimbangkan untuk mengundurkan diri daripada usaha dakwah dan kebaikan yang dilakukan.

“Jadi, saya luahkan kepada Datuk Mufti bahawa saya rasa seperti mahu berhenti kerana orang berburuk sangka tanpa sebab.

“Saya bertanya kepada beliau sama ada saya perlu berhenti atau tidak,” jelasnya.

Bagaimanapun, nasihat Mufti Selangor yang ringkas tetapi mendalam berjaya mengubah kembali pendiriannya selain mengingatkan tentang kepentingan menjaga niat dalam setiap amalan dilakukan.

“Datuk Mufti hanya tersenyum dan berpesan supaya jangan berhenti.

“Katanya, ‘kalau kita ada satu amalan yang dibuat bukan kerana Allah, namanya syirik, tetapi kalau kita berhenti melakukan satu amalan itu disebabkan manusia, itu pula riak namanya'” jelasnya lagi.

Mengambil iktibar, Alif turut mengajak orang ramai supaya tidak membiarkan kritikan dan tanggapan negatif menjadi penghalang untuk terus memperbaiki diri ke arah kebaikan.

“Saya cuma mahu berkongsi kepada sesiapa yang sedang berusaha berubah menjadi lebih baik tetapi ada bunyi-bunyi yang cuba menghalang anda melakukan kebaikan, ingatlah pesanan ini.

“Teruskan melangkah ke hadapan, Allah lebih mengetahui dan lakukanlah kerana Allah.

“Semoga Tuhan menetapkan niat dan apa sahaja yang kita lakukan sama ada mahu berubah ke arah kebaikan, sihat, menjadi anak, suami, isteri serta insan yang lebih baik. Teruslah bertahan kerana insya-Allah, Allah akan permudahkan,” tuturnya lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok