TEMPOH empat tahun bergelar anak seni mungkin dianggap agak singkat bagi sesetengah individu untuk benar-benar mahir dalam sesuatu bidang.
Belum handal sepenuhnya, namun tempoh singkat itu cukup mematangkan pelakon Amir Ahnaf, untuk mengenali selok-belok industri lakonan tanah air.
Meskipun namanya kini sedang mencanak naik selepas membintangi drama bersiri Projek: High Council, jejaka asal Terengganu itu mendedahkan perjalanan seninya tidaklah semudah yang disangka.
Pada awal pembabitannya, dia pernah berdepan saat sukar apabila terpaksa bergerak sendirian tanpa bimbingan pengurus.
“Selepas High Council susah sebenarnya sebab saya tak ada pengurus. Hidup kucar-kacir dari segi pemilihan projek.
“Saya pernah cuba terbang ke Indonesia untuk casting di sana sebab nak cuba.
“Kalau nak cakap tentang rezeki, saya masih mencuba. Satu lagi saya bukan nak puaskan hati semua orang. Itu bukan caranya,” katanya kepada HibGlam.
Meneliti perkembangan kerjayanya yang bergerak pantas, pemilik nama lengkap Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin itu tetap mengekalkan sikap merendah diri.
Dia enggan selesa untuk menitip sebarang pesan kepada pendatang baharu, sebaliknya hanya berkongsi pengalaman yang diraih sepanjang berada dalam industri.
“Saya orang baharu, tak ada banyak pengalaman lagi untuk memberi pendapat kepada anak-anak muda tapi saya ada kongsi apa yang saya belajar.
“Industri ini besar, aktor tumbuh macam cendawan dan akan melahirkan ramai lagi. Yang penting adalah jadi diri sendiri.
“Mierul Aiman, Nadhir Nassar dan Meerqeen, semua ada ‘warna’ masing-masing. Jangan jadi the next Fattah Amin atau Beto Kusyairy.
“Kita semua adalah produk. Kita yang jual diri kita sendiri,” ujarnya.
Tambahnya, terma ‘menjual diri’ yang digunakan membawa maksud bagaimana seseorang artis memasarkan bakat dan kredibiliti diri bagi meyakinkan pihak produksi untuk memberi kepercayaan terhadap sesuatu watak.
“Drama atau filem, semuanya mengenai bisnes. Kalau awak tak pandai jual diri sendiri macam mana produksi nak ambil?
“Macam mana pelabur nak letak duit untuk bagi amanah kepada awak mainkan karakter? Jadi awak perlu jual diri sendiri.
“Itulah ‘seposen dua sen’ daripada saya. Saya orang baharu saja,” jelasnya.
Berbicara mengenai kejayaan dan rezeki seni yang semakin melimpah, pelakon berusia 26 tahun itu menasihati khalayak menghindari sikap membandingkan pencapaian diri dengan individu lain.
“Jangan buat perbandingan. Awak bandingkan dengan orang lain, awak bunuh kegembiraan tersendiri.
“Tuhan hadirkan rasa itu untuk awak. Kenapa nak kena bandingkan kegembiraan awak dengan orang lain.
“Bersyukur, awak takkan bandingkan dengan orang lain. Sifat syukur itu sangat penting,” tuturnya.
Jani dalam Baga

MENJADI diri sendiri adalah cara pendekatan Amir Ahnaf meletakkan dirinya sebagai pelakon.
Dalam perkembangan lain, Amir kini sibuk mempromosikan filem terbaharunya berjudul Baga: Esok Untuk Siapa arahan Ariff Zulkarnain.
Memegang watak sebagai Jani, bekas peserta Hero Remaja 2021 itu mengakui karakter tersebut menuntut komitmen emosi yang cukup tinggi, malah membantunya kembali mengenali erti akar umbi dan jati diri.
“Watak ini sangat berat bagi saya tapi saya bersyukur saya jumpa Jani dulu baru Kahar. Berjayanya Kahar disebabkan Baga.
“Saya dah lost (hilang) lama, apabila bawa karakter Jani membuatkan saya kembali kepada akar umbi sendiri. Datang ke Terengganu, buang segala kehidupan bandar.
“Kenal balik diri sendiri, karakter dan cuba untuk laksanakan watak cara orang Terengganu. Lama-lama saya rasa macam jumpa balik diri sendiri,” kongsinya.
Jelasnya lagi, karakter tersebut secara tidak langsung banyak mendidik dirinya untuk kembali ‘memanusiakan’ diri.
“Watak ini adalah paling susah sebab bila dah jauh dengan diri sendiri, dia jadi berat sebab kita dah lupa jati diri sendiri dan karakter itu yang membantu.
“Pembelajaran pertama, saya belajar bila masuk kelab teater dan perkara itu memanusiakan kita.
“Teater itu lakonan, apabila kita dah hilang sifat manusia, jati diri. Karakter Jani bantu saya memanusiakan balik diri saya.
“Apabila dapat jadi manusia, saya dapat rasa semua perasaan. Saya bersyukur sangat,” luahnya.
Demi menghidupkan watak seorang penagih dadah dengan berkesan, pelakon filem Tarung: Unforgiven itu melakukan kajian mendalam termasuk merujuk pelbagai rujukan visual dan menghasilkan eksperimen lakonan bersendirian di dalam bilik.
“Bila dapat skrip, saya buat kajian tentang dadah dan tengok YouTube macam mana orang yang ada kesan dadah. Apabila kita belajar bahasa badan, pertuturan kata, gerakan mata, kita cuba laksanakan.
“Paling seronok bila saya duduk dalam bilik seorang diri, letak kamera dan cuba baca skrip dan berlakon karakter itu tanpa dilihat sesiapa. Tiada siapa akan menghakimi.
“Cuma ada kamera dan cuba bayangkan berada di set ketika itu.
“Saya cuba bayangkan duduk menggigil sendiri dan bila tengok balik kalau masih nampak Amir Ahnaf, maksudnya saya tak berjaya. Jadi saya akan cuba buat lagi sampailah rasa macam orang lain,” jelasnya.
Tidak cukup di situ, dia cuba mendapatkan ‘kelulusan’ daripada orang sekeliling bagi menyempurnakan lagi mutu lakonannya di lokasi penggambaran.
“Selepas itu saya akan cuba tunjuk kepada orang lain untuk pastikan saya betul-betul berjaya.
“Saya akan cuba perbaiki, walaupun ada yang kata video itu berjaya, tak semestinya juga sebab di set kita akan belajar sesuatu atau benda lain yang baharu,” tutupnya.

