KERAJAAN memberi jaminan menyediakan ruang lebih terbuka kepada penggiat seni tempatan agar mereka tidak berasa tertekan atau terkongkong dalam menghasilkan karya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keterbukaan itu penting bagi memastikan perkembangan industri filem negara terus subur, namun masih memelihara batas budaya serta nilai akhlak.
“Industri filem seperti juga pemerkasaan budaya yang menuntut sikap lebih terbuka. Mana mungkin kreatif kalau terlalu banyak kekangan dan sekatan syarat-syaratnya.
“Bayangkan filem mahu dikembangkan sebagai industri yang lebih kompetitif dan menarik khalayak, tetapi terlalu banyak sekatan dan kongkong, tidak mungkin berkembang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara Finas Damansara, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Menurut Anwar, aspek pemerkasaan budaya tidak boleh dipandang ringan ketika ruang keterbukaan dalam industri filem diberikan penekanan, malah perkara itu turut diingatkan kepada menterinya.
“Saya sudah menegaskan kepada menteri serta pihak berkaitan supaya pendekatan kerajaan terhadap industri filem menjadi lebih terbuka.
“Bagaimanapun dalam aspek pemerkasaan budaya saya agak berkeras. Saya mahu Malaysia diangkat dengan kekuatan ekonomi dan penguasaan budaya,” ujarnya.
Katanya, kemajuan negara juga perlu mengambil kira kehendak khalayak yang mahukan suasana lebih bebas, tanpa semestinya meniru acuan Barat.
“Kalau mahu negara ini maju, kita harus terima kenyataan bahawa anak-anak muda dan khalayak menginginkan suatu suasana yang lebih bebas dan terbuka.
“Tidak bermakna kita harus ikut acuan Barat, bagaimanapun acuan Timur itu pula tidak semestinya aliran neokonservatif.
“Aliran Timur itu harus kekal dengan budaya, dengan nilai, dengan akhlak, tetapi harus lebih terbuka,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap operasi di Menara Finas dapat memperkasakan serta meningkatkan lagi kualiti serta memperkukuh industri perfileman tempatan.
Berkenaan Menara Finas, ia membabitkan bangunan setinggi 15 tingkat yang mula beroperasi sebagai ibu pejabat baharu agensi berkenaan sejak 6 Ogos lalu.
Dibangunkan di tapak seluas 5.14 ekar, bangunan berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk Dewan Panca Delima dan dua studio sound stage, Pawagam Digital P. Ramlee ruang latihan serta muzium yang menyimpan sebanyak 81,770 bahan arkib audiovisual negara. -HIBGLAM
