BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menyifatkan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Konsert Tradisional Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam sebagai bukti sokongan kerajaan terhadap khazanah warisan tempatan.
Menurut pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Tarudin, 47, konsert tersebut bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi platform untuk menyemai rasa cinta rakyat Malaysia terhadap seni tradisional.
“Terima kasih PMX kerana hadir menyokong usaha kami anak seni yang menaikkan martabat lagu tradisional.
“Konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi ingin mengajak semua menghayati indahnya budaya dan jati diri kita terhadap seni budaya Melayu, Cina dan India serta senusantara,” katanya dalam satu hantaran InstaStory hari ini.
Mengulas lanjut, Siti berkata irama tradisional perlu terus dipelihara agar tidak tenggelam dek arus pemodenan.
“Seni ini sangat indah kerana menyatukan semua tak kira latar belakang dan bangsa manakala irama tradisional kita begitu indah tidak kalah dengan melodi moden yang menjadi ikutan semasa.
“Berbanggalah kita masih mampu mengekalkan seni budaya kita dan terus kekal walaupun pelbagai muzik muncul mengambil tempat di hati peminat seni,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, dia turut menekankan pentingnya peranan pelbagai pihak dalam memastikan karya tempatan terus berkumandang dan dihargai generasi masa depan.
“Sokongan pihak kerajaan amatlah saya hargai untuk menjadikan industri seni kreatif negara diangkat hingga ke peringkat tertinggi.
“Jika irama tradisional dimainkan di setiap corong radio kerajaan atau swasta, pasti terus kekal serta malar segar sampai bila-bila.
“Terima kasih PMX, terima kasih semua,” jelasnya.
Semalam, Gema Bumantara dihadiri seramai 63,000 penonton sekali gus meletakkannya sebagai konsert mengangkat irama tradisional tradisional terbesar dalam sejarah industri seni tanah air.
Dalam konsert sama, empat penyanyi turut diundang berduet dengan siti iaitu Noraniza Idris, Haziq Rosevi, King Nassar dan Lesti Kejora.- HIBGLAM

