Berdebar jantung, esok kita beri sehabis baik – Noraniza Idris

MESKI hanya penyanyi jemputan, Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris tetap memberikan komitmen penuh menjayakan persembahannya pada konsert Tradisional Gema Bumantara yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Noraniza, 58, berkata, dia masih menjalani latihan bersama guru vokal bagi membiasakan diri dengan susunan muzik baharu untuk konsert tradisional berskala mega Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu.

“Esok pagi (hari ini) saya masih mengikuti latihan vokal dengan guru vokal saya untuk membiasakan diri dengan susunan muzik baharu, terutamanya lagu Hati Kama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sejenis yang akan berkali-kali membuat latihan sebelum menjejakkan kaki ke pentas dan pastikan sudah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal.

“Insya-Allah, kita beri sehabis baik,” katanya.

Dalam masa sama, penyanyi itu turut berkongsi keterujaan dan debaran ketika menjalani sesi raptai penuh buat kali pertama di TM Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

“Alhamdulillah, semalam pertama kali dapat buat ‘soundcheck’ di Stadium Nasional.

“Kalau tanya rasa macam mana, fuh! Berdebar kuat degupan jantung ini,” katanya lagi.

Tambahnya, persembahan yang diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bersama barisan pemuzik profesional tanah air di bawah pimpinan pengarah muzik terkenal, Chaan bakal memberi impak luar biasa kepada penonton.

Penyanyi yang popular dengan lagu Dikir Puteri itu turut menzahirkan keterujaan apabila berpeluang kembali berduet dengan Siti Nurhaliza selepas 20 tahun.

“Dikelilingi pasukan profesional, orkestra tradisional, pemuzik undangan dan pengarah muzik terbaik dalam industri muzik, semua hebat-hebat belaka.

“Hati dapat bertenang apabila Siti berdiri di sebelah dengan wajah senyum sahaja sambil memberi maklum balas mengenai apa yang saya perlu buat. Mesti saya nampak gabra.

“Hari ini latihan kedua, akan lebih baik lagi,” ujarnya.

Pada masa sama, Noraniza turut menitipkan pesanan kepada peminat yang bakal hadir dari jauh agar berhati-hati sepanjang perjalanan ke konsert berkenaan.

“Kepada yang datang dari jauh, di mana sahaja berada, hati-hati memandu dan semoga selamat perjalanan masing-masing.

“Kita meriahkan konsert tradisional terbesar Siti Nurhaliza,” jelasnya.

Acara penuh bersejarah itu bakal menjadi saksi persembahan solo Siti Nurhaliza buat kali ketiga di lokasi ikonik berkenaan menerusi alunan pelbagai genre seperti zapin, joget, asli, inang dan klasik.

Konsert Tradisional Gema Bumantara yang turut menampilkan Haziq Rosebi, King Nassar dan Lesti Kejora bukan sekadar persembahan hiburan untuk orang Melayu semata-mata, sebaliknya buat seluruh rakyat Malaysia serta serantau. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok