PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh perfileman negara, Tan Sri L Krishnan yang menghembuskan nafas terakhir, petang semalam.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, mendiang merupakan bekas pelajar High School Bukit Mertajam dan antara tokoh terawal yang mencorakkan perkembangan filem Melayu.
Katanya, sebagai pengarah, mendiang menghasilkan deretan karya penting pada era 1950-an dan 1960-an bersama pelbagai syarikat produksi iaitu Shaw Brothers, Malay Film Productions, Cathay-Keris serta Merdeka Studios.
“Antara karya arahan mendiang termasuk Bakti, Keris Sempena Riau dan Selendang Merah.
Mendiang turut dikenang kerana membimbing dan menggilap bakat ramai bintang ternama, antaranya Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, Maria Menado, Datuk Mustapha Maarof, M Amin dan Rosnani Jamil,” katanya dalam hantaran itu.
Menurut Anwar lagi, lebih enam dekad dalam dunia filem, iklan dan muzik, mendiang Krishnan meninggalkan legasi besar dalam industri seni serta budaya negara.
Pastinya jasa dan sumbangan mendiang dalam memperkaya khazanah seni tanah air akan terus dikenang. ‘
“Takziah kepada seluruh keluarga. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Berdasarkan laporan, mendiang meninggal dunia di Chiang Mai, Thailand, pada usia 104 tahun akibat sakit tua.
Mendiang antara tokoh penting dalam era kegemilangan industri filem Melayu klasik selain bertanggungjawab menggilap bakat ramai penggiat seni termasuk Tan Sri P Ramlee menerusi filem Bakti pada 1950. – HIBGLAM

