PENYANYI Yasin Sulaiman mendedahkan detik istimewa bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Pada masa sama, Yasin atau nama lengkapnya Mohammad Yasin Sulaiman, 50, mengakui sempat mengenali hati budi Najib ketika bertemu dalam acara yang dipercayai dianjurkan di penjara.
“Antara figura menarik yang saya jumpa di Penjara Kajang tak lain tak bukan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk beramah mesra dengan beliau. Disebabkan saya ditugaskan setiap kali ada majlis, beliau sering diundang untuk makan bersama.
Biasanya kita akan duduk satu meja dengan pengarah penjara. Kami bersembang, makan sama-sama dan sempat mengenal hati budi dia (Najib),” katanya dalam sebuah audio siar.
Tambah penyanyi Mimpi Laila itu, pertemuannya dengan tokoh politik itu secara tidak langsung memperlihatkan sisi peribadi yang mesra dan prihatin.
“Sebelum masuk penjara, saya tak pernah jumpa (Najib). Bila dah bertemu saya dapati dia seorang yang budiman.
Dia juga sangat prihatin dan lemah lembut. Banyak kali dia tanya saya fasal kes saya,” kongsinya lagi.
Pada 2 September lalu, Yasin dibebaskan selepas lebih empat tahun menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Dia juga mengakui tidak pernah terfikir akan dibebaskan dalam tempoh yang singkat selepas dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Untuk rekod, pada 22 Ogos 2024, Yasin dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya.
Hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Yasin oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor pada 29 November 2023.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 28 April 2025 melepas dan membebaskan Yasin serta memerintahkannya kembali ditempatkan di Hospital Bahagia sehingga diperkenan Sultan Selangor.
Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan ke atas Yasin selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya.
Yasin didakwa atas tiga pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram, menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan memberikan dirinya dadah berbahaya. – HIBGLAM

