Gegaran rentak empat band hidupkan Indiescovery 2026

DALAM lambakan kehadiran penyanyi negara Seberang, sambutan terhadap band tempatan masih meraih sambutan hebat.

Sokongan padu tersebut boleh disaksikan menerusi konsert Indiescovery 2026 yang berlangsung di Zepp KL baru-baru ini.

Meski penganjurannya meraih kecaman hebat dalam media sosial susulan acara bermula lambat dan penonton ‘disidai’ terlalu lama sepanjang konsert berlangsung, persembahan yang disajikan empat band iaitu Kugiran Masdo, Bittersweet, Butterfingers dan Bunkface berjasa menyelamatkan keadaan.

Pentas pada malam tersebut dibuka oleh Masdo, kumpulan yang paling junior dalam kalangan tiga band lain.
Masdo tampil bertenaga mempersembahkan lebih lima buah lagu seperti Teruna & Dara, Dinda, Pujaanku dan Teristimewa.

Ali Sariah selaku vokalis mengakui teruja apabila diberikan kesempatan membuat persembahan sepentas dengan tiga band hebat lain.

“Saya mewakili Kugiran Masdo, berasa bangga kerana menjadi salah satu band yang beraksi pada konsert ini.

Ini kerana tiga band lain wujud lebih awal dan bangga betul dapat berkongsi pentas dengan mereka. Terima kasih menjadikan ini kenyataan,” katanya.

Pada malam itu, Masdo tidak ketinggalan melakukan ritual wajib mereka iaitu cangkung dan lompat yang sememangnya antara dinanti-nanti peminat setianya.

Konsert tersebut seterusnya diambil alih Bittersweet yang dianggotai Hafizan Razali atau Fizan (vokalis)dan Hazairi Abdul Hamid (gitar utama) sekali gus meneruskan momentum ditinggalkan Masdo.

Tidak pernah menghampakan, kumpulan yang ditubuhkan pada 2004 itu mempersembahkan seleksi lagu popular mereka seperti Capital E, Perfect Match dan lagu ikonik mereka, Kucing Hitam.

Malangnya pada malam tersebut, Fizan mengalami kecederaan pada bahagian muka akibat terjatuh di atas pentas ketika membuat persembahan.

Namun dia dengan pantas memberitahu semuanya dalam keadaan terkawal sebelum meneruskan persembahan.

Tidak menunggu lama, Butterfingers yang dianggotai Emmett, Loque, Kadak dan Loko pula muncul menghiburkan penonton dengan lagu Girl Friday, Skew, E, Still River, Love serta Delirium.

Kemunculan paling dinanti-nanti, Bunkface menutup pentas dengan lagu Panik, Dunia, Ekstravaganza, Rentak Laguku, Darah Muda, Situasi dan Revolusi.

Meski jam sudah menunjukkan pukul 12.30 malam, vokalisnya, Sam tetap bersemangat menghiburkan peminat yang sudah menanti lama.

Tepukan untuk muzik Malaysia. Terima kasih penganjur kerana telah menjemput empat band tempatan.

“Seperti yang kalian tahu, sekarang banyak konsert artis antarabangsa dan harga tiket mereka tidak murah.

“Jadi, saya berterima dengan keberadaan kalian pada konsert ini, beli tiket untuk melihat empat band tempatan,” ujarnya. – HIBGLAM

caption

SESEKALI muncul dalam sebuah persembahan bertaraf konsert, Emmets dan Butterfingers membasuh rindu peminat dengan seleksi lagu popular mereka.

terjatuh ketika beraksi, Firzan bagaimanapun meneruskan persembahan sehingga lagu terakhirnya.

KUMPULAN Bunkface menjadi band penutup dengan persembahan penuh tenaga.

LAMBAT bermula, konsert Indiescovery 2026 tetap hangat dengan sorakan 5,000 penonton.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok