‘Ekosistem itu baru nak muncul, bukan tiada’ – KJ

MEMILIH untuk menceburkan dalam dunia lakonan boleh dikatakan sebagai satu perkara yang tidak pernah terakam dalam fikiran figura bernama Khairy Jamaluddin.

Lelaki yang sebelum ini ligat dalam dunia politik, termasuk pernah memegang jawatan Menteri Kesihatan kini menceburkan diri dalam bidang lakonan.

Filem 5 Bomoh yang kini rancak ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 4 Jun lalu merupakan naskhah layar lebar pertama yang dibintangi penyampai radio Hot FM itu.

Menurutnya, watak Mr. K yang dipegang dalam filem tersebut mempunyai banyak persamaan dengan karakter realitinya.

5 Bomoh

“Sebelum ini pernah berlakon untuk video iklan tetapi 5 Bomoh adalah filem pertama saya.

“Ketika tawaran ini hadir, saya dimaklumkan bukan sebagai watak utama dan karakter Mr. K banyak persamaan dengan saya, jadi kata setuju.

“Kemudian filem ini pun menarik dan sangat sesuai untuk tontonan seisi keluarga, bawa mesej yang serius tetapi disampaikan dengan cara yang bersahaja serta sarat dengan elemen komedi,” katanya.

Pertama kali bergelar bintang filem, dia mengakui tidak terlepas daripada berdepan beberapa cabaran, termasuk memahami cara penggambaran sesebuah filem.

Tidak mengeluh, dia sebaliknya mempelajari pelbagai perkara baharu sepanjang tempoh penggambaran 5 Bomoh bersama barisan pelakon lain seperti Datuk Aaron Aziz, Scha Alyahya, Datuk Afdlin Shauki dan Datuk Amy Search.

Ada juga kesukarannya seperti penggambaran dijalankan tidak mengikut aturan jalan cerita, semuanya pecah-pecah.

“Jadi, saya tidak tahu apa yang berlaku sebelum dan selepas babak lakonan sendiri. Saya perlu baca dan cuba menghayati perjalanan cerita sebelum adegan saya.

“Jadi, saya mula faham bahawa penggambaran filem bukan macam teater yang berjalan mengikut babak,” katanya.

Industri filem Malaysia

Menceburkan diri dalam dunia perfileman turut membuka matanya mengenai ekosistem industri seni tanah air khususnya nilai positif di sebalik pembikinan sesebuah karya.

Dia juga menyifatkan sokongan padu berterusan daripada kerajaan mampu membawa karya tempatan ke peringkat antarabangsa seperti yang berlaku di Korea Selatan.

“Saya lihat bahawa memang ada peranan untuk kerajaan memberi sokongan yang lebih padu kepada industri perfileman kita.

“Kalau lihat negara lain, banyak yang beri sokongan padu terhadap industri perfileman mereka, contoh yang paling nyata sekarang ini adalah Korea Selatan.

“Dunia hiburan mereka bukan hanya dapat sokongan daripada kerajaan tetapi juga industri seni dan rakyat mereka sendiri,” ujarnya.

Dari sudut pemerhatiannya, dia melihat kerajaan kini rancak menzahirkan pelbagai bentuk sokongan dalam membangunkan industri perfileman tanah air.

“Di Malaysia, ekosistem itu baru nak muncul, bukan tiada.

Saya yakin, dengan lahirnya beberapa filem blockbuster yang telah pun diterbitkan sejak tiga empat tahun ini,  masa depan industri perfileman Malaysia akan berkembang positif meski berdepan cabaran daripada pelbagai platform penstriman.

“Insya-Allah akan dapat berkembang sekiranya terus mendapat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan kementerian yang berkenaan,” katanya yang meminati filem era 1980-an seperti The Godfather.

Dalam pada itu, KJ juga menepis dakwaan segelintir pihak mengenai industri kreatif yang dikatakan tidak memberi impak terhadap pembangunan ekonomi negara.

Jelasnya, industri kreatif merupakan antara penyumbang besar dan tidak merugikan sekiranya dipilih pihak tertentu sebagai platform pelaburan.

“Itu tak betul langsung sebab industri kreatif memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi kita, bukan hanya dari segi penjualan tiket tetapi penjanaan dari segi industri perfileman itu sendiri.

“Jadi bagi saya, sangat berbaloi kalau kita nak minta kerajaan sokong dan melabur dalam industri kreatif.

“Sebab bukan hanya menjana ekonomi di dalam negara tetapi kalau sudah popular di peringkat antarabangsa, pasti akan meraih pendapatan besar sekali gus membawa nama negara ke mata dunia,” akhirinya.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok