‘Saya nak tahu punca sebenar, masih belum dapat jawapan’

PELAKON Che Puan Sarimah Ibrahim masih ternanti-nanti penjelasan penerbit filem Konspirasi berhubung punca sebenar pemberhentian tayangan naskhah lakonannya itu selepas seminggu berada di pawagam tempatan.

Menurut Sarimah, 48, kenyataan yang dikeluarkan penerbit iaitu Elepgfilm Entertainment dan Penerbitan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengenai isu tersebut sebelum ini tidak menjawab pelbagai persoalan dengan terperinci serta masih menimbulkan pelbagai tanda tanya sehingga hari ini.

“Apabila dihentikan tayangan, saya bukan kecewa tapi kita lebih kepada tertanya-tanya. Itu yang saya nak tahu, kenapa? Sebab kami masih tak dapat jawapan.

Ada yang suruh saya bertanya produser sendiri tetapi masih tak dapat jawapan seperti kenapa semua ini berlaku. Namun, saya syukur filem ini masih lagi ditayangkan di Singapura.

“Hakikatnya, hanya produser saja yang boleh menjawab semua persoalan. Kami pun menunggu sehingga sekarang jawapan (yang sebenar),” katanya kepada HibGlam ketika ditemui semasa program Talk To My Manager 2, semalam.

Dalam pada itu, dia juga tidak dapat menjawab sama ada keputusan tayangan Konspirasi dihentikan disebabkan kutipan rendah sepanjang seminggu tayangan.

“Saya tak tahu sebab bukan produser dan hanya sebagai seorang pelakon tetapi pastilah nak tahu sebab.

Kenyataan yang kami dapat sama seperti penjelasan pihak penerbit kepada umum. Memang kecewa dan situasi ini ibarat kami buat tugasan tetapi tidak dinilai dan ditarik begitu sahaja,” ujarnya.

Meski filem lakonanannya menjadi mangsa, dia bagaimanapun memberitahu tidak pernah serik untuk kembali bekerjasama dengan penerbit tersebut.

“Saya tak pernah serik selagi tidak tahu mengenai punca sebenar semua ini berlaku.

“Kami sudah dengar kenyataan daripada pihak Finas, produser namun semua penjelasan tidak menjawab soalan.

Saya sudah 29 tahun dalam industri seni dan memang seorang yang jujur. Kalau saya diam nampak macam pelik pula sebab kami dah penat promosi serta tak mahu buat peminat rasa tertipu, nak pergi menonton tetapi filem  sudah ditarik semula,” ujarnya.

Terdahulu, Sarimah dan beberapa pelakon Konspirasi berkongsi rasa kecewa apabila filem tersebut tersebut dihentikan tayangan selepas seminggu berada di pawagam.

Tampil menjelaskan perkara tersebut, Finas berkata keputusan itu dibuat oleh syarikat penerbitan sendiri tanpa melibatkan arahan mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Elepfilm Entertainment selaku syarikat penerbit berkata, keputusan tersebut merupakaan atas pertimbangan dalaman syarikat dan bukan sebagai strategi publisiti atau pemasaran.

Menurut Elepfilm Entertainment lagi,  penarikan semula tayangan Konspirasi tidak  dipengaruhi mana-mana pihak lain.

Selain Sarimah, Konspirasi yang mula ditayangkan pada 21 Jun lalu turut dibintangi Datuk Adi Putra, Alicia Amin, Hisyam Hamid, Shiqin Kamal dan Amir Nafis. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok