Filem dikritik ‘sampah’, Mimi Lana saran beri ulasan membina

KECEWA filem Polong dikritik, pelakon Mimi Lana menyelar tindakan segelintir pihak yang seolah-olah merendahkan usaha keras tenaga kerja industri.

Menurut Mimi atau nama sebenarnya Mimi Roziana Zainal Abidin, 31, perbezaan cita rasa adalah lumrah, namun masih wujud golongan penonton lain yang menghargai dan menikmati karya tersebut.

“Tidak semua filem akan serasi dengan jiwa setiap orang dan itulah keindahan sebuah seni.

Tetapi melabelkan sesebuah filem sebagai ‘sampah’ rasanya agak keterlaluan sedangkan ramai penonton lain yang betul-betul menjerit, tertawa dan menikmati pengalaman tersebut bersama kami,” katanya dalam Threads.

Dalam masa sama, pelakon drama Perempuan Itu menyarankan penonton memberikan ulasan yang lebih membina berbanding melemparkan kecaman kosong.

Mungkin lebih menarik adalah dengan mengulas apa yang kurang menjadi pada pandangan anda sebab setiap filem dihasilkan dengan jiwa, minat dan pengorbanan seluruh tenaga kerja di belakang tabir.

“Apa pun terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk menonton filem kami.

“Kami amat menghargai,” katanya lagi.

Kenyataan tersebut dimuat naik selepas seorang pengguna Threads sewenang-wenangnya menganggap filem naskhah terbaharu lakonannya berjudul Polong sebagai sebuah karya yang gagal.

“Polong secara rasmi menjadi filem sampah 2026,” tulisnya ringkas.

Filem Polong arahan Zulkarnain Azhar sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

Selain Mimi, filem bergenre seram tersebut turut dibintangi Jun lojong, Fad Anuar, Nadiya Nissa dan Nam Ron. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok