Baga : Cinta, perihal manusiawi yang luar biasa

SELEPAS meledak dengan filem Malam Terlarang sebagai penulis skrip, Ariff Zulkarnain kembali dengan filem baharu, Baga: Esok Untuk Siapa. 

Kadangkala, perkara paling menyakitkan dalam kehidupan bukanlah kehilangan sesuatu yang dimiliki, sebaliknya menyedari bahawa peluang untuk mengubah nasib diri semakin lama semakin tertutup.

Persoalan itu menjadi asas penceritaan Baga: Esok Untuk Siapa, sebuah naskhah genre drama jenayah tempatan yang membawa penonton menyelami kehidupan masyarakat di sebuah perkampungan pesisir pantai di Terengganu.

Memuatkan artikel berkaitan…

 Tidak sekadar menjadikan cinta sebagai tunjang cerita, sebaliknya Baga mengangkat realiti kehidupan kelompok masyarakat yang berdepan kemiskinan, ketagihan dan keterbatasan peluang untuk keluar daripada belenggu kehidupan.

Menerusi watak Jani lakonan Amir Ahnaf dan Melur (Amirah Razak), penonton diperkenalkan kepada sepasang kekasih yang menyimpan impian untuk membina kehidupan lebih baik, jauh daripada realiti yang diwarisi sejak sekian lama.

Kehamilan tidak dirancang menguji impian mereka, sekali gus memaksa mereka menentukan masa depan bersama.

Dalam keadaan kewangan yang tidak menentu dan pilihan yang semakin terbatas, Jani melibatkan diri dalam kegiatan pengedaran dadah demi mendapatkan wang untuk kelangsungan hidup. 

Di sinilah konflik utama filem ini mula terbentuk apabila niat untuk melindungi insan tersayang bertembung dengan keputusan yang berpotensi memusnahkan kehidupan sendiri.

Latar cerita

Menariknya, Baga tidak menjadikan kemiskinan sekadar latar cerita, sebaliknya sebagai persoalan utama yang membentuk tindakan dan pilihan watak-wataknya. 

Pendekatan tersebut memberikan ruang kepada sebuah naratif yang lebih dekat dengan realiti masyarakat, khususnya kelompok yang terpaksa berdepan keterbatasan ekonomi dan tekanan persekitaran.

Latar perkampungan pesisir Pantai Timur turut memberi identiti tersendiri, dengan norma tradisi masyarakat setempat menambah konflik yang dihadapi Jani dan Melur. 

Bukan sekadar kisah cinta, filem ini turut mengangkat persoalan peluang kedua, tanggungjawab dan pengorbanan demi demi memastikan insan tersayang tidak dihimpit kesusahan.

Dari sudut watak, Amir Ahnaf memikul tanggungjawab besar sebagai Jani yang menjadi nadi kepada perjalanan cerita. Karakter tersebut memerlukan penghayatan terhadap konflik seorang lelaki yang terperangkap antara tanggungjawab, keinginan dan keputusan yang semakin menjauhkan dirinya daripada kehidupan normal.

Amirah Razak pula tampil sebagai Melur, wanita yang turut berdepan ketidaktentuan masa depan selepas hamil.

Gandingan kedua-dua pelakon muda itu menjadi antara elemen yang menarik perhatian, khususnya dalam membawakan kisah hubungan yang diuji oleh tekanan kehidupan dan bukannya sekadar konflik percintaan konvensional.

Kehadiran pelakon berpengalaman seperti Wan Hanafi Su turut menambahkan dimensi kepada penceritaan Baga. Barisan pelakon lain termasuk Cech Adrea, Idham Maulana, Asrulfaizal, Kimal Mokhtar dan Mat Over melengkapkan gambaran komuniti yang menjadi latar kepada perjalanan kisah Jani dan Melur.

Selaku pengarah dan penulis skrip, Ariff memilih pendekatan drama jenayah bernuansa neo-noir untuk menyampaikan kisah pasangan itu. 

Menarik untuk diperhatikan, bagaimana filem ini turut mengangkat nasib pengusaha bot yang semakin terpinggir akibat perubahan zaman. 

Unsur berkenaan memperluas skop penceritaan daripada konflik pasangan muda kepada persoalan tentang kelangsungan pekerjaan tradisional masyarakat pesisir yang berdepan perubahan ekonomi.

Aspek tersebut berpotensi menjadikan Baga lebih daripada sekadar sebuah filem tentang pengedaran dadah, sebaliknya sebuah gambaran mengenai kelompok masyarakat yang berusaha mencari tempat dalam dunia yang semakin berubah.

Tema tepat

Bagaimanapun, tema berat seperti kemiskinan, ketagihan dan pengedaran dadah memerlukan keseimbangan penceritaan yang teliti agar mesej sosial tidak mengatasi perkembangan watak. 

Penonton juga wajar diberikan ruang untuk memahami pilihan yang dibuat oleh setiap karakter tanpa menjadikan kesalahan mereka sebagai sesuatu yang mudah untuk dihalalkan. 

Dengan durasi sekitar 93 minit, filem ini mempunyai ruang untuk menyampaikan konflik utamanya secara lebih terarah tanpa perlu terlalu bergantung pada sub naratif yang berlebihan.

Secara keseluruhan, Baga: Esok Untuk Siapa membawa premis yang menarik kerana berani mengangkat sisi kehidupan masyarakat yang jarang diberikan perhatian dalam naskhah arus perdana. 

Persoalan tentang cinta, kemiskinan dan kelangsungan hidup menjadikan filem ini mempunyai asas penceritaan yang lebih luas daripada sebuah drama percintaan biasa.


BAGA: ESOK UNTUK SIAPA Pengarah: Ariff Zulkarnain Pelakon: Amir Ahnaf, Amirah Razak, Wan Hanafi Su Sumber: Indigo Films, Skop Productions Tayangan: 5 November 2026 Bintang: ★★★★☆

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok